Oleh: Amirulhakim Lokman
KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Wanita Sedunia turut diraikan di Parlimen, apabila kebanyakan Ahli Parlimen menzahirkan ucapan khas sebelum mengemukakan soalan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menjadi individu pertama menyampaikan penghargaannya bersempena hari istimewa itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula, sebelum menjawab soalan lisan memetik sebuah hadis mengenai pentingnya menyantuni wanita dengan baik.
Di luar dewan, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengagihkan 300 bunga kepada wanita termasuk Ahli Parlimen, petugas dan petugas media.
Beliau turut berharap agenda pemerkasaan wanita khususnya mengangkat mereka sebagai pemimpin dalam sektor awam dan swasta akan dipertingkatkan dari masa ke masa.
“Saya lihat wanita wajar diberi galakan. Perlu sekurang-kurangnya 50 peratus wanita menjadi pemimpin di sektor awam dan swasta seiring dengan jumlah mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam ketika ini iaitu lebih 60 peratus adalah pelajar wanita,” katanya.