Oleh Nur Ain Zulfah Yahya
KUALA LUMPUR: Permainan ‘tuju’ tin antara aktiviti yang dilaksanakan di pameran peralatan dan permainan tradisional sempena Hari Terbuka Parlimen Malaysia 2023.
Pelbagai lapisan bangsa dan umur dari kalangan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mencuba dan mempelajari keunikan permainan tradisi yang disediakan dalam pameran itu.
![](https://media.buletintv3.my/2023/05/yd6VRgMi-CMS-PPZ-11.jpg)
Pengarah urusan peneraju permainan tradisional Guligeng, Abdul Rahman Haris berkata, permainan ‘tuju’ tin amat mudah dimainkan kerana hanya menggunakan barang terpakai lama sekaligus mewujudkan hubungan keakraban antara satu sama lain.
“Main dengan lima hingga 10 orang setiap dua kumpulan berlawanan, jadi orang zaman dulu agak kreatif dan dengan kekangan hidup mungkin bukan belilah barang, guna apa yang ada di persekitaran mereka sahaja, jadi ‘tuju’ tin tu main beramai-ramai dapat mengeratkan silaturahim.”
Ujarnya lagi, setiap permainan yang ingin dimulakan harus mempunyai beberapa strategi penting di samping menguji pemain untuk berfikir secara interaktif bagi memenangi perlawan permainan itu.
“Sebelum tu kita perlu tahu kaedah permainan, pengumpulan mata tu macam mana, ok kita ambil contoh 10 orang pemain akan berlawan dengan 10 orang pemain, jadi satu kumpulan akan menjatuhkan 10 tin, dan satu kumpulan lagi akan menaikkan 10 biji tin itu. Kenaikan tin piramid itulah akan menjadikan sebagai mata kemenangan.”
“Jadi kumpulan tadi kena berbincang dan mengatur strategi macam mana untuk mematikan pihak lawan 10 orang tu dengan kadar segera, tanpa dia dapat menaikkan tin dengan lebih banyak, jadi dari situlah mereka terpaksa ‘brainstorm’ dan mengatur strategi untuk mempercepatkan dan mematikan pihak lawan.”
Selain permainan ‘tuju’ tin, para pengunjung juga berpeluang mencuba permainan tradisi lain seperti terompah gergasi, terompah gajah, kaki hantu, kelereng (permainan rim tayar basikal), dam aji, dan congkak.