TANJUNG MALIM: Allahyarham Nurul Najihah Amzi sempat menghantar video ucapan selamat hari lahir kepada suaminya sebelum terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 390 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dekat Behrang, Perak semalam.
Nurul Najihah, 27, adalah seorang daripada tiga perwakilan Muslimat PAS maut dalam nahas jam 2 petang itu.
Suaminya, Faizal Jailani berkata ketika kejadian, dia masih di Shah Alam bagi mengikuti Muktamar PAS ke-69 sementara isteri dan empat lagi rakan pulang ke Sungai Petani.
“Tengah hari tadi (semalam) arwah isteri saya sempat hantar video ucapan selamat hari lahir kepada saya sebelum minta izin pulang bersama rakannya.
“Saya tak sangka hari yang sepatutnya menggembirakan ini bertukar hari paling duka dalam hidup saya.
“Sepanjang enam tahun perkahwinan kami, arwah seorang isteri yang sangat taat dan hormat terhadap saya,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Slim River, di sini, malam tadi.
Faizal, 42, menerima khabar duka kejadian menimpa isterinya itu jam 3 petang semalam, daripada rakan isterinya, Hasnah Nayan, 61, yang turut menaiki Toyota Fortuner sama.
Dalam kemalangan itu, Nurul Najihah, 27, yang juga Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat PAS Sungai Petani serta dua lagi pimpinan, Ketua Ameerah PAS Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23, dan Ketua Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Altis ketika membantu seorang pemandu pikap yang terbabas sebelum terbalik di longkang jalan.
Fatihah Nabila dan Taibah disahkan maut di tempat kejadian, manakala Nurul Najihah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Slim River.
Faizal berkata, jenazah Nurul Najihah akan dikebumikan di Seri Derga, Alor Setar di kampung kelahiran pagi ini.
“Itu adalah pesanan arwah sejak tiga bulan lalu, pada awalnya saya hairan juga mengapa isteri kerap berikan pesanan jika dia meninggal dunia terlebih dahulu, dia minta disimpan (kebumi) di kampung ibu bapanya, mungkin Allah sudah takdirnya dia bersiap-sedia,” katanya.
Sementara itu, ibu Fatihah Nabila pula berkata, berita kematian anak sulung daripada lima beradik itu disampaikan oleh anak saudaranya jam 3 petang semalam.
Menurut Jamaliah Jaafar, 52, ketika kejadian, dia yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Penaga, Pulau Pinang baru pulang ke rumah di Sungai Petani dan sedang menunaikan solat Zohor.
“Fatihah memang pantang melihat orang lain berada dalam kesusahan, mesti hendak ditolong. Apabila saya diberitahu dia turun dari kereta untuk bantu orang lain yang kemalangan, saya sayu kerana Allah mengambilnya ketika dia berusaha membantu orang lain, memang itulah sifatnya sejak dulu.
“Dia seorang yang periang, kehilangannya pasti buatkan keadaan kami di rumah terasa sunyi selepas ini. Kami reda dengan ketentuan ini,” katanya.
Jenazah Allahyarham yang juga guru PASTI Taman Mutiara Sungai Petani akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Berangan, Kota Kuala Muda, Kedah pagi ini.
Suami kepada seorang lagi mangsa, Taibah, berkata kali terakhir dia berhubung dengan isterinya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani itu adalah Rabu lalu iaitu hari Taibah bergerak menghadiri Muktamar PAS ke-69 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.
Md Nor Hassan, 60, berkata, dia dimaklumkan berita duka itu oleh rakan selepas solat Jumaat .
“Saya terkejut kerana perkara ini berlaku tiba-tiba, kasihan pada anak-anak sebab ada dua daripada lapan anak kami masih belajar,” katanya.