Tumpuan :
Nasional

Hari Radio Sedunia: Merayakan sejarah dan masa depan radio

Oleh: Azzarouq Zulkiply


Rai Hari Radio Sedunia Setiap 13 Februari

RADIO bukan sahaja menjadi peneman di kala sunyi, tetapi media itu juga menjadi medium yang efektif dalam menyampaikan pelbagai saluran maklumat dan platform untuk berinteraksi.

Disambut pada 13 Februari setiap tahun, Hari Radio Sedunia antara hari antarabangsa yang diraikan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan radio dan menggalakkan orang ramai mendengar, berinteraksi dan terus menyokong keberadaan radio.

Sambutan itu diisytiharkan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2011 dan diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2012.


Di manakah terciptanya idea untuk Hari Radio Sedunia?

Idea untuk Hari Radio Sedunia berasal dari Sepanyol dan ia pertama kali disambut pada tahun 2009. Tarikh 13 Februari dipilih kerana ia merupakan ulang tahun penubuhan Radio Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1946.


Kepentingan radio kepada pendengar

Radio memainkan peranan penting dalam memaklumkan, mendidik, dan menghiburkan orang di seluruh dunia selama lebih satu abad.

Hari Radio Sedunia membuka peluang untuk meraikan kuasa unik radio dan mengiktiraf peranan penting yang dimainkannya dalam kehidupan.

Ia juga merupakan hari untuk merenung semula cabaran yang dihadapi oleh radio selain membincangkan cara untuk memastikan ia terus relevan dalam era digital.

Berikut adalah beberapa sebab utama mengapa radio begitu penting:

• Radio boleh diakses: 

Radio boleh diakses oleh semua peringkat umur, tahap pendapatan dan tahap pendidikan.

• Radio berpatutan: 

Radio percuma untuk didengari dan ia tidak memerlukan sebarang peralatan khas.

• Radio mudah alih: 

Radio boleh didengari di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

• Radio sebagai medium terpantas:

Radio boleh memberi maklumat terkini tentang berita dan perkembangan terkini.

• Radio bersifat peribadi: 

Radio boleh memberi persahabatan dan keselesaan kepada orang yang keseorangan atau terpencil.


Kronologi penyiaran radio di Malaysia

1921

Pada tahun 1921, seorang jurutera elektrik kerajaan Johor bernama Al Birch, membawa set radio pertama ke Malaysia. Kemudian beliau menubuhkan Persatuan Wireless Johor yang memulakan siarannya melalui gelombang 300 meter. Persatuan itu terus berkembang di Pulau Pinang dan Persatuan Wireless Malaysia di Kuala Lumpur.

1930

Memasuki tahun 1930, Sir Earl daripada Lembaga Pelabuhan Singapura melancarkan siaran gelombang pendek setiap dua minggu sama ada pada hari Ahad atau Rabu.

Persatuan Wireless Malaysia meneruskan usaha itu dengan melancarkan siarannya dari Bukit Petaling, Kuala Lumpur melalui gelombang 325 meter.

1937

Sir Shenton Thomas mengikuti usaha untuk membuka Studio Perbadanan Penyiaran British dengan menggunakan pemancarnya di Caldecott Hill, Singapura pada 11 Mac 1937.

1942

Berikutan pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan tamatnya era pemerintahan Britain di Singapura pada tahun 1942, Jepun telah mengambil alih saluran radio sedia ada dan memperkenalkan saluran radio di Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur, Seremban dan Singapura untuk menyiarkan propaganda mereka. Nasib mereka berubah apabila British menguasai semua stesen radio tersebut pada tahun 1943.

1946

Pada 1 April 1946, Jabatan Penyiaran ditubuhkan di Singapura. Pembangunan perkhidmatan radio dilihat bertambah penting apabila darurat diisytiharkan pada 1948. Bidang penyiaran di Malaysia berkembang dan beberapa stesen radio kemudian diwujudkan di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

1960

Iklan komersial buat pertama kali disiarkan di radio pada tahun 1960 dan ia menjadi sumber pendapatan baharu kerajaan. Ketika Malaysia dibentuk, juruhebah bertugas menggunakan “INILAH RADIO MALAYSIA” sebagai pengenalan. Bidang penyiaran membuka satu lagi lembaran dengan Angkasapuri yang memulakan siarannya pada 6 Oktober 1969.

1969

Radio dan televisyen kemudian bergabung di bawah Kementerian Penerangan. Pertumbuhan saluran pertama, Rangkaian Satu, menggalakkan pembentukan saluran kedua pada 17 November 1969.

2000-an sehingga kini

Di Kompleks Angkasapuri, pembangunan pesat berlaku dalam bidang penyiaran sama ada radio atau televisyen. Rangkaian radio nasional bermula 24 jam untuk memberi perkhidmatan kepada semua golongan pendengar, terutama yang bekerja pada waktu malam.

Di Media Prima Audio, ia diwakili oleh lima jenama penyiaran:

• Hot FM

• Kool 101

• Molek FM

• Fly FM

• Eight FM

• Audio+, sebuah aplikasi yang menyokong semua lima stesen radio, podcast dan kandungan menarik lain.

Stesen radio di Media Prima Audio.

Hari Radio Sedunia adalah hari untuk meraikan dan menghargai kerja keras penyampai radio dan tenaga kerja di komuniti radio serta mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh radio dalam kehidupan seharian kita.

Selamat menyambut Hari Radio Sedunia 2025!

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini