Oleh: Azzarouq Zulkiply
DALAM arus pemodenan hari ini yang penuh dengan perisian digital dan dunia penstriman, pastinya terdapat cabaran yang dilalui oleh stesen radio terutamanya penyampai radio apabila kelompok itu perlu berusaha bagi memastikan pendengar terus mengikuti perkembangan mereka setiap hari.
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/yPaLkw0U-BTV3-NEW-.jpg)
Bagi penyampai radio Fly FM, Ean Nasrun dan Haniff Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ean dan Haniff (EH!), sudah semestinya Hari Radio Sedunia merupakan hari peringatan permulaan radio dan bagaimana radio telah berkembang sehingga ke hari ini. Bagaimanapun, cabaran untuk kekal relevan dalam dunia radio juga tidak terhalang daripada pandangan mereka.
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/FLY-FM.jpg)
“Satu perkara untuk kami kekal relevan adalah dengan memberitahu pendengar bahawa terdapat aplikasi digital, Audio+ di mana pendengar boleh mendengar mana-mana radio kegemaran mereka secara percuma,” kata Ean.
Haniff pula berpendapat bahawa untuk kekal relevan, mereka selalunya bekerja dalam pasukan dan bukan hanya bergerak solo, mengikuti perkembangan terkini dan peredaran zaman untuk membantu dalam memastikan radio masih segar di telinga pendengar.
Selain itu, bagi memastikan pendengar masih setia untuk mendengar radio, hubungan antara stesen radio dan pendengar juga memainkan peranan penting.
“Selain menghubungi kami melalui media sosial, bagi saya cara yang amat digalakkan adalah bersemuka sesama pendengar dan tenaga kerja stesen radio di mana-mana penganjuran acara yang diadakan oleh stesen radio,” tambah mereka.
Selain mempunyai cabaran untuk kekal relevan, terdapat juga penggunaan Artificial Intelligence (AI) pada masa kini yang mula digunakan untuk mengikut peredaran zaman.
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/AINA-DJ.jpg)
“Tidak dinafikan AI memang sudah tiba masa untuk digunakan bagi kebaikan. Kami juga menggunakan AI dalam menjalankan tugas sebagai penyampai radio tetapi kami memeriksa semula untuk mengikut cara kami untuk memastikan keberkesanan AI itu adalah tepat,” kata Ean.
Haniff juga menyatakan bahawa AI mampu membantu dalam pemikiran kritis, tetapi kurang dalam menerapkan kreativiti di mana ia lebih kepada kemahiran daripada manusia.
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/DJ-RADIO-QILAH.jpg)
Dalam pada itu, bagi penyampai radio di Molek FM, Qila Shahirah atau lebih dikenali sebagai Qila, dia berpendapat bahawa cabaran pada masa kini untuk radio kekal relevan adalah untuk memenuhi kehendak pendengar.
“Kita yang bekerja di radio hendak memastikan hubungan bersama pendengar berkekalan supaya mereka memilih radio untuk dapatkan informasi terkini dan bukan setakat hiburan dan perkara yang tular.
“Cabaran dia memang untuk kita tarik perhatian dan kesetiaan pendengar, lebih-lebih lagi dalam kalangan anak muda sekarang,” katanya.
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/MOLEK-PAGI.jpg)
Menurut Qila, media sosial sangat membantu dalam memastikan radio kekal giat menjadi relevan lebih-lebih lagi dalam rutin membuat strim langsung di akaun rasmi media sosial radio stesen tersebut.
“Setiap hari, memang rutin di Molek FM sepanjang Molek Pagi akan buat live sebab dari situ kita akan dapat pendengar-pendengar yang baru dalam semua lapisan masayarakat,” jelasnya.
Bagi Qila, dalam dunia digital yang terus maju sejajar dengan perkembangan era teknologi, AI juga memberi kebaikan kepada penyampai radio dalam menjalankan tugas tetapi hanya sebagai elemen tambahan untuk membantu dari segi pengoperasian radio.
“Perkataan penyampai itu sendiri adalah kami ini adalah perantara dalam menyampaikan maklumat, hiburan, menyiarkan berita terkini dan radio juga antara medium yang terpantas untuk menyebarkan maklumat.
“Kami juga membincangkan topik dalam perspektif kami dan pendengar juga diberi peluang untuk menyatakan pendapat mereka masing-masing melalui kami dan itulah yang membuatkan radio ini penting dan akan kekal relevan sampai bila-bila,” katanya.
Hari Radio Sedunia adalah hari untuk meraikan dan menghargai kerja keras penyampai radio dan tenaga kerja di komuniti radio serta mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh radio dalam kehidupan seharian kita.
Klikl artikel Hari Radio Sedunia untuk mengetahui lebih lanjut!
Selamat menyambut Hari Radio Sedunia 2025!
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.