Oleh Fahmi Tajuddin
PETALING JAYA: Rakyat di negara ini diseru menolak segala bentuk perpecahan dan permusuhan dan sebaliknya menjulang sikap kebersamaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook berkata, sepanjang tempoh 61 tahun penubuhan Malaysia, rakyat telah menempuh pelbagai ujian bersama.
“Selama 61 tahun negara Malaysia yang kita cintai telah terbentuk dan dalam masa itu, pelbagai rintangan mendewasakan kita berjaya tempuhi bersama.
“Sambutan yang disambut setiap tahun seharusnya menjadi cetusan semangat dan manifestasi perpaduan di samping rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air oleh rakyat Malaysia merentasi kaum, agama dan budaya,” ujarnya.
Anwar juga berkata, dengan penolakan kepada sikap perpecahan itu mampu menjulang potensi negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Mari kita galakkan erti penubuhan Malaysia yang bebas dan merdeka, menolak perpecahan dan permusuhan serta membina kebersamaan untuk memajukan potensi dan kemampuan negara ke peringkat tertinggi,” katanya.
Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan tahun ini akan diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.