comscore
Tumpuan :
Nasional

Hari Kesedaran Tsunami Sedunia setiap 5 November

Pengenalan

Tarikh 5 November telah dipilih sebagai ‘Hari Kesedaran Tsunami Sedunia’ atau World Tsunami Awareness Day (WTAD) berdasarkan resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 22 Disember 2015.

WTAD bertujuan untuk memupuk kesedaran, moraliti serta kesiapsiagaan setiap negara di peringkat antarabangsa terhadap bencana tsunami dan bagi memperingati kejadian-kejadian tsunami di seluruh dunia.

50% penduduk dunia terdedah tsunami menjelang tahun 2030

Tsunami adalah kejadian yang jarang berlaku tetapi boleh membawa maut.

Menjelang tahun 2030, dianggarkan 50 peratus penduduk dunia yang tinggal di kawasan pantai akan terdedah kepada banjir, ribut dan tsunami.

Oleh itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru semua negara untuk meningkatkan pemahaman tentang ancaman tsunami dan inisiatif pengurangan risiko bencana itu, melalui Hari Kesedaran Tsunami Sedunia.

Menurut PBB, 58 bencana tsunami pada 100 tahun yang lalu telah meragut lebih 260,000 nyawa.

Jumlah kematian tertinggi berlaku pada Disember 2004 di Lautan Hindi yang menyebabkan 227,000 kematian di 14 negara.

Indonesia, Sri Lanka, India dan Thailand adalah negara yang paling terjejas.

Selepas 3 minggu kejadian tersebut, ‘Hyogo Framework’ diperkenalkan untuk pengurangan risiko bencana.

Stesen Amaran Awal Tsunami dan Sistem Tebatan telah ditubuhkan untuk pemantauan seismograf dan paras laut menghantar amaran kepada pusat maklumat tsunami negara.

Selepas ‘Hyogo Framework’ tamat pada 2014, ‘Sendai Framework’ bagi Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030 diperkenal, dengan menggariskan tujuh sasaran dan empat perkara utama untuk mencegah dan mengurangkan risiko bencana.

Sejarah pemilihan tarikh 5 November

Sejarah pemilihan tarikh 5 November adalah untuk menghormati kisah sebenar dari Jepun iaitu Inamura no Hi yang bermaksud api dari tompokan padi.

Kisah ini menceritakan bencana tsunami yang disebabkan oleh gempa bumi di Ansei-Nankai pada tahun 1854.

Tsunami itu telah membadai Semenanjung Kii yang kini dikenali sebagai Hirokawa yang berada di sebelah barat Jepun.

Seorang ketua kampung dan petani di daerah itu yang bernama Hamaguchi Goryo, telah berjaya menyelamatkan seluruh penduduknya dengan cara membakar padi miliknya yang berada di atas bukit.

Hal ini dilakukan supaya penduduk kampung lari ke atas bukit untuk memadamkan kebakaran, sekaligus menyelamatkan mereka daripada bencana tsunami.

Rancangan Hamaguchi itu sebenarnya sangat berkesan dan ia merupakan cara yang disarankan oleh pakar apabila berlakunya tsunami iaitu dengan lari ke tempat tinggi.

Dengan memperingati kisah ini dalam kalangan masyarakat Jepun, tarikh tersebut telah menjadi hari penuh bersejarah bagi kejadian alam ini.

5 negara yang dilanda tsunami besar

 

1. Sumatra, Indonesia – 26 Disember 2004

Masjid Rahmatullah Lampuuk yang musnah akibat tsunami. – Foto: Costas Synolakis, University of Southern California

26 Disember 2004 adalah bencana alam yang dianggap terburuk dalam lipatan sejarah sehingga mengorbankan hampir 283,000 nyawa, manakala 14,000 lain gagal ditemui dan 1.12 bilion penduduk hilang tempat berteduh.

Gempa bumi yang berlaku pada jam 7.59 pagi waktu tempatan ini menjangkau 9.3 magnitud, sekali gus mencetuskan ombak setinggi lebih 30 meter, bersamaan ketinggian bangunan 10 tingkat.

Kemusnahan bangunan di Banda Aceh, Sumatera yang dibadai tsunami. – Foto: Costas Synolakis, University of Southern California

Kekuatan tsunami menyamai 23,000 bom atom yang memusnahkan Hiroshima, Jepun dan merupakan gempa kedua terbesar dalam tempoh 100 tahun dengan kedalaman pusat gempa, 10 kilometer.

Bot yang dihanyutkan ke darat berhampiran pusat perniagaan di bandar Aceh, Sumatera berikutan tsunami besar yang melanda kawasan itu pada 26 Disember 2004. – Foto: Michael L. Bak, U.S. Department of Defense

2. Pantai Pasifik Utara, Jepun – 11 Mac 2011

Kerosakan yang telah berlaku di Sukuiso, Jepun, seminggu selepas gempa bumi berukuran 9.0 magnitud yang telah memusnahkan kawasan itu. – Foto: Dylan McCord, U.S. Navy

Pada 11 Mac 2011, gempa bumi berukuran 9.0 magnitud dengan ombak setinggi 10 meter telah melanda Lautan Pasifik, menyebabkan tsunami yang mengorbankan lebih 18,000 nyawa.

Limpahan arus deras turut memusnahkan tiga reaktor nuklear di loji jana kuasa Fukushima Daiichi dan disifatkan sebagai tragedi nuklear terburuk selepas Chernobyl di Russia pada 1986.

Tsunami menghanyutkan stesen minyak menyebabkan kebakaran seluruh bandar. – Foto: Japanese Red Cross

Gempa bumi dan tsunami itu menyebabkan sinar radiasi melanda keseluruhan kawasan, memaksa pemindahan segera lebih 452,000 penduduk setempat. Bank Dunia menganggarkan, Jepun mengambil masa sehingga lima tahun untuk mengatasi kerugian sebanyak $235 bilion.

Air masih belum surut di bandar Ishinomaki selepas tsunami besar. – Foto: Japanese Red Cross

3. Lisbon, Portugal – 1 November 1755

Alegori Gempa Bumi 1755 oleh Joao Glama Stroberle, diilhamkan oleh gempa bumi Lisbon 1755

Pada 1 November 1755, gempa bumi berukuran 8.5 magnitud menyebabkan tiga siri ombak besar melanda bandar-bandar di sepanjang pantai barat Portugal dan selatan Sepanyol, sehingga 30 meter tinggi di beberapa tempat. Gempa bumi dan tsunami ini telah meragut 60,000 nyawa di Portugal, Maghribi dan Sepanyol.

4. Krakatau, Indonesia – 27 Ogos 1883

Letusan yang pernah menggegarkan dunia

Peristiwa tsunami di Krakatau, Indonesia berkait dengan letupan gunung berapi kaldera Krakatau. Ombak setinggi 37 meter telah disebarkan oleh letusan besar dan telah melumpuhkan bandar Anjer dan Merak. Peristiwa ini membunuh kira-kira 40,000 orang. Bagaimanapun, sebanyak 2,000 kematian boleh dikaitkan secara langsung dengan letusan gunung berapi dan bukannya tsunami yang berikutnya.

5. Laut Enshunada, Japan – 20 September 1498

Gempa bumi di Laut Enshunada, Japan dianggarkan sekurang-kurangnya 8.3 magnitud, menyebabkan gelombang tsunami di sepanjang pantai Kii, Mikawa, Surugu, Izu dan Sagami. Ombak yang kuat telah memisahkan Tasik Hamana dari laut. Terdapat rumah-rumah dihanyutkan dan banjir di seluruh wilayah dengan jumlah kematian sebanyak 31,000 orang.

Tanda-tanda amaran tsunami yang perlu diketahui 

♦ Gempa bumi: Gempa bumi kuat berpusat bawah laut adalah satu daripada faktor utama pencetus tsunami di Asia. Jika anda merasakan gegeran kuat terutama dalam tempoh panjang, ia mungkin petanda tsunami.

♦ Perubahan laut luar biasa: Jika anda mengamati perubahan air laut yang luar biasa seperti pasang surut air laut dengan cepat ia boleh menjadi petanda tercetusnya tsunami. Sebagai contoh, jika air laut surut jauh daripada garis pantai sehingga mendedahkan dasar laut, maka perlu lebih bersedia.

♦ Bunyi gema atau gemuruh: Tsunami berupaya menghasilkan bunyi gema atau bergemuruh yang kuat yang boleh didengari oleh penduduk di kawasan pantai. Bunyi seperti ini boleh menjadi petanda bahawa landaan tsunami semakin hampir.

♦ Perubahan tingkah laku haiwan: Beberapa haiwan boleh menunjukkan perubahan perangai yang tidak biasa sebelum tsunami. Ini termasuk burung yang terbang secara tidak teratur atau haiwan laut seperti ikan lumba-lumba dan ikan yang berperangai tidak biasa. Jika anda mengamati perubahan ini, ia boleh menjadi petanda bahaya.

♦ Amaran rasmi: Pihak berkuasa di negara Asia mewujudkan sistem amaran awal tsunami. Sentiasa berwaspada dengan amaran rasmi seperti bunyi siren di aplikasi mudah alih atau siaran radio dan televisyen. Amaran ini memberi maklumat terperinci yang membolehkan anda mengambil langkah awal.

♦ Pengamatan tsunami jauh: Dalam sesetengah kes, penduduk berada di lokasi lain. Pengesahan visual atau saksi berfungsi sebagai amaran kepada kawasan pantai yang mungkin terjejas oleh tsunami.

Langkah berjaga-jaga yang perlu diambil jika tsunami berlaku

♦ Tidak semua gempa bumi mengakibatkan tsunami, tetapi kebanyakannya berpotensi menghasilkan gelombang tsunami. Apabila anda mengetahui gempa bumi telah berlaku, bersedialah untuk menerima amaran tsunami.

♦ Kehadiran tsunami biasanya didahului dengan air laut yang surut dengan tiba-tiba. Ini adalah tanda-tanda semulajadi terhadap kehadiran tsunami dan perlu diambil perhatian oleh orang ramai. Segeralah lari menuju ke tempat yang tinggi (perbukitan atau bangunan tinggi) dan jangan menghampiri pantai.

♦ Gelombang tsunami yang kecil pada satu kawasan pantai mungkin boleh menjadi sangat besar beberapa meter sahaja darinya. Jangan ambil mudah pada gelombang tsunami yang kelihatan kecil. Teruskan berada di kawasan yang tinggi sehingga pihak-pihak bertanggungjawab mengumumkan keadaan benar-benar telah selamat.

♦ Jangan sesekali pergi ke tepi pantai untuk melihat gelombang tsunami. Apabila gelombang itu dilihat, anda sudah terlalu dekat dengannya dan sukar untuk menyelamatkan diri.

♦ Apabila amaran awal tsunami telah diberikan oleh pihak berkuasa, langkah awal boleh diambil dengan mengenal pasti risiko kawasan tempat tinggal anda. Kawasan berhampiran pantai lebih berisiko tinggi. Buatlah persediaan dengan menyediakan pek kecemasan yang mengandungi makanan, minuman dan alat -alat pertolongan kecemasan. Letakkan di tempat yang mudah dilihat.

Loading...
Terkini