Oleh: Farah Nabilah Wazer
KLANG: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mendahului senarai 94 penerima darjah dan bintang kebesaran serta pingat-pingat negeri sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-79, hari ini.
Beliau dikurniakan darjah Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima darjah sama dalam Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor di Istana Alam Shah hari ini ialah Pengerusi Eksekutif The Edge Communications Sdn. Bhd, Tan Sri Tong Kooi Ong.
Darjah Dato’ Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS), dikurniakan kepada Anggota Lembaga Pengampunan Selangor, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman.
Sultan Sharafuddin turut berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran – Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) kepada 11 penerima, antaranya Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, Sharrina Abdullah; Duta Besar Malaysia Ke Maghribi, Shahabudeen Adam Shah dan Hakim Mahkamah Keluarga Kuala Lumpur, Evrol Mariette Peters.
Turut menerima anugerah sama, Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor, Izham Hashim; Panglima Markas Briged Ke-11 Infantri, Kem Sungai Buloh, Brigadier Jeneral Shahir Hafizul Abd. Rahman; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Rahilah Rahmat dan Ahli Lembaga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Selangor, Cheremi Tarman.
Darjah tersebut turut dikurniakan kepada Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datin Azalina Adham; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perdana Parkcity Sdn. Bhd., Datuk Joseph Lau; Ketua Pegawai Eksekutif Aeon Bank (M) Berhad, Raja Maimunah Raja Abdul Aziz dan Pengarah Ranhill Utilities Berhad, Faiz Ishak.
Anugerah Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) pula dikurniakan kepada Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais.
Turut menerima darjah sama ialah Ahli Jawatankuasa Fatwa dan Khutbah Selangor, Dr. Muhammad Ayman al-Akiti; Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Zakat Selangor, Badariah Abd. Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor Incorporated, Saipolyazan Mat Yusop; Pengarah Milestone Power Sdn Bhd, Norhamidi Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd, Tengku Badlishah Shukri Tengku Ibrahim dan Pengarah Urusan Rafulin Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohamed Raffe K Chekku.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Kuik Cheng Kang, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai; Pengurus Besar HRC Holdings, Michael Leow Kean Teck; Pengarah Eksekutif Sunway Group, Sarena Cheah Yean Tih dan Pengarah Urusan Kumpulan IOI Corporation Berhad, Datuk Lee Yeow Chor turut menerima anugerah sama.
Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin ke Balairung Seri Istana Alam Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.