Tumpuan :
Nasional

Hari kebangsaan: Gendang berpusing, payung terjun dan lompatan bermotosikal antara tarikan esok

PUTRAJAYA: Hari Kebangsaan disambut esok menjadi iltizam buat segenap lapisan rakyat untuk memperkukuhkan lagi perpaduan antara kaum di negara ini, sekali gus bertepatan dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Bertemakan ’Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’, Hari Kebangsaan Malaysia 2023 (HKM2023), signifikannya tahun ini bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 itu, Putrajaya yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, kini ditadbir Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persembahan Khas Malaysia MADANI selama 30 minit akan menjadi pembuka tirai sambutan tahun ini yang menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung, diadakan selepas acara rasmi iaitu menaikkan bendera Jalur Gemilang dan bacaan ikrar Rukun Negara.

Irama pukulan gendang daripada 400 pemain gendang pelbagai kaum berserta dengan empat gendang berpusing dikenali ‘Achun Spinning Drum’, yang akan digunakan buat julung kalinya pada sambutan kali ini, dijangka akan mengegarkan Dataran Putrajaya.

Seramai 400 orang, gabungan pemain gendang serta kompang akan bergabung dengan kira-kira 762 penari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan 600 pelajar sekolah bagi memeriahkan lagi sambutan.

Dua persembahan ‘wow’ paling dinantikan termasuk acara payung terjun yang dipersembahkan oleh enam anggota Komando VAT69 Polis Diraja Malaysia dan lompatan bermotosikal merentasi 66 motosikal model Royal Enfield oleh pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat iaitu Army Red Warrior.

Kelainan turut ditampilkan kali ini apabila Kontinjen Perpaduan yang terdiri daripada 400 kakitangan pelbagai etnik di bawah Kementerian Perpaduan Negara serta pelajar universiti turut mengambil bahagian dalam perbarisan dan perarakan.

Sambutan tahun ini juga tidak melupakan kanak-kanak yang akan hadir apabila watak animasi seperti Ejen Ali, Mechamato, Boboiboy Omar & Hana, Keluang Man dan Tiong Man juga akan trurut serta dalam perarakan bawah Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran.

Selain itu lebih 100 aset ketenteraan milik ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Angkatan Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga dipertontonkan termasuk persembahan formasi udara.

Hadirin esok digalakkan memakai pakaian batik bagi menunjukkan sokongan padu kepada industri batik tempatan selain menggunakan pengangkutan awam disediakan.

Loading...
Terkini