Tumpuan :
Nasional

Hari Kebangsaan 2024: Sultan Perak berangkat ke sambutan di hadapan Dewan Bandaran Ipoh

Oleh: Kumaran Rajamoney 

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menghadiri sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2024 di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab.

Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira jam 8.15 pagi itu turut diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sejurus tiba, Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada 106 pegawai dan anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen Kem Sangro, Taiping sambil diiringi pancaragam KD Pelanduk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Majlis sambutan bermula dengan bacaan doa oleh Imam Besar Masjid Negeri, Abd Farid Salleh, diikuti nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan ikrar Hari Kebangsaan.

Sambutan diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 108 kontinjen mewakili jabatan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak.

Kira-kira 30,000 orang dari dalam dan luar negeri yang terdiri daripada berbilang kaum hadir memeriahkan majlis sambutan seawal jam 6 pagi.

Berangkat sama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, dan Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah bersama Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan pimpinan kerajaan negeri Perak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini