comscore
Tumpuan :
Nasional

Hari Kebangsaan 2024: Hujan membasahi Dataran Putrajaya, tidak jejas kemeriahan sambutan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Hujan renyai membasahi Dataran Putrajaya yang menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2024 sekitar jam 7.47 pagi.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak memalapkan kemeriahan sambutan yang dihadiri ratusan ribu orang.

Acara gilang-gemilang itu bakal menyajikan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam dan 439 aset ketenteraan.

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’, antara kelainan yang dibawa kali ini ialah perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI diterajui Kementerian Perpaduan Negara, yang juga kontinjen terpanjang berpakaian etnik lengkap beraksesori bagi melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.

Disertai 800 peserta, keunikan kontinjen itu ditonjolkan melalui alatan (prop) dan persembahan khas sebagai simbolik perpaduan masyarakat antaranya kumpulan kompang, chingay, tarian naga dan singa, tarian merak, perarakan kuda serta pahlawan Bajau sekali gus mewarnai sambutan kali ini.

Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI merupakan antara tujuh komponen perarakan tahun ini yang terdiri daripada Kontinjen Kesejahteraan dan Keselamatan, Kontinjen Kenegaraan, Kontinjen Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Kontinjen GLC dan GLIC, Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran serta Kontinjen Sukan Negara.

Acara hari ini akan bermula dengan ketibaan pembesar negara, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sambutan secara rasmi bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dengan menaiki kenderaan rasmi sekitar jam 8 pagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini