comscore
Tumpuan :
Nasional

Hari Kebangsaan 2023: Kanak-kanak leukemia mahu tengok kereta kebal

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seorang bapa sanggup menuruti impian anaknya yang menghidapi leukemia untuk merasai sendiri pengalaman meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya.

Norazlan Nordin, 34, berkata anaknya, Noraqil, 8, menyimpan hasrat untuk berada di lokasi sambutan sejak tahun lalu, namun terhalang disebabkan tuntutan kerja.

Artikel berkaitan: 10,000 pengunjung meriahkan Ambang Merdeka di ibu negara

Bagaimanapun, pada tahun ini, beliau mahu merealisasikan impian anak sulungnya itu yang menghidapi kanser darah sejak berusia tiga tahun.

Norazlan bersama isteri dan dua lagi anaknya bergerak dari rumah di Tampin, Negeri Sembilan jam 10 malam tadi.

“Pada tahun ini anak saya (Noraqil) minta untuk datang sini, jadi saya bawa dia tengok dengan mata sendiri, sebelum ni tengok di televisyen, tak dapat semangat,” katanya ketika ditemui di Dataran Putrajaya, hari ini.

Jelasnya, Noraqil yang pertama kali hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan mahu melihat kereta kebal.

Sementara itu, tinjauan di lokasi sambutan mendapati pengunjung mula berkampung sejak tengah malam tadi.

Ada yang memasang khemah dan sanggup baring di kaki lima bangunan sementara menunggu acara perbarisan dan perarakan yang bermula jam 7.30 pagi ini.

Nyata, hujan renyai tidak mematahkan semangat pengunjung daripada berganjak.

Menurut Muhd Amirul Fitri Ramli, 25, dia bersama ibu dan empat adik beradiknya tiba dari Bangi pada jam 3 pagi.

“Tahun lalu saya ke Dataran Merdeka bersama kawan. Tahun ini saya dengan keluarga. Kita datang paling awal tapi ada lagi yang datang lagi awal, semua bersemangat,” katanya yang mahu melihat perarakan Unit Anjing Pengesan (K9).

Sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya kali ini adalah yang kelima selepas kali pertama pada 2003, disusuli 2005, 2018 dan 2019.

Seramai 100,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan sambutan tahun ini.

Loading...
Terkini