PUTRAJAYA: Saat warga Malaysia nyenyak tidur dan berehat bagi mendapatkan tenaga untuk hadir ke sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya hari ini, ‘abang bas’ bersengkang mata demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung.
Pemandu bas (Kapten Bas) Rapid KL Mohammad Saudi Abd Sahi berkongsi keterujaan dapat menabur bakti kepada negara pada kemuncak sambutan Hari Kebangsaan di sini dengan memastikan penumpang dibawa dengan selamat untuk sampai ke destinasi dituju.
Artikel berkaitan: Hari Kebangsaan 2023: 20,000 hadirin meriahkan Dataran Medan Bandar
Memulakan tugas seawal 3 pagi berbanding tugasan kebiasaannya pada 6 pagi di sekitar Maluri, Cheras, Mohammad Saudi berkata, tugasan memandu bas dua tingkat untuk membawa penumpang ke Dataran Putrajaya ialah satu bentuk pengorbanan sekali gus cara menzahirkan kecintaan kepada negara.
“Saya bersemangat bekerja hari ini sebab walaupun tak dapat bersama-sama untuk pergi tengok sambutan (Hari Kebangsaan) secara langsung, melihat orang ramai yang bersemangat datang, saya lebih semangat (bekerja),” katanya hari ini.
Mohammad Saudi antara seorang Kapten Bas yang terbabit dalam perkhidmatan bas perantara percuma dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya.
Selain laluan itu, Rapid KL juga menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma merangkumi Nasyrul Quran Presint 14 dan Marina Putrajaya ke Dataran Putrajaya.
Seorang lagi pemandu Bas Ahmad Naisabury Abdul Malik berkata, sambutan tahun ini meriah memandangkan jumlah pengunjung yang sudah menunggu untuk menaiki bas di stesen Putrajaya Sentral agak ramai seawal 4 pagi tadi.
“Apabila tengok orang ramai macam ini, kita pun jadi semangat nak kerja, saya melihat sambutan sangat meriah sebab jalan pun sesak hari ni,” katanya. – BERNAMA