comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes bunuh Zayn Rayyan: Pakar sifatkan jenayah terancang

Anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) masuk ke lokasi kejadian berhampiran Blok R, Apartmen Idaman untuk mengumpul bahan bukti bagi kes pembunuhan Zayn Rayyan. – Foto arkib NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Memasuki siasatan hari ke-12, siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin masih belum menemui petunjuk sekali gus disifatkan pakar sebagai jenayah terancang.

Pakar Kriminologi, Nadiah Syariani Md Shariff berkata, ini kerana tidak banyak bahan bukti yang ditinggalkan untuk menjejak suspek dan ia menunjukkan suatu niat yang kuat untuk melakukan jenayah.

Pakar Kriminologi, Nadiah Syariani Md Shariff

Katanya, kekurangan bahan bukti ini menyebabkan proses siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih giat dijalankan.

Keadaan itu menjadi cabaran kepada pasukan penyiasat untuk mengenal pasti individu secara spesifik.

“Pada tahap ini sesiapa sahaja boleh menjadi suspek dan sesiapa sahaja mempunyai motif untuk melakukan jenayah, melainkan sekiranya ada bahan bukti yang cukup kuat seperti cap jari atau ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk menyokong atau mengenalpasti individu secara spesifik,” katanya kepada Buletin TV3.

Beliau turut mengulas kesan apabila pengumpulan bahan-bahan bukti dalam masa yang panjang selepas jenayah berlaku.

“Ada kebarangkalian bahan bukti sudah tercemar, mungkin bahan bukti yang penting sudah dipindahkan ke tempat lain kerana ‘contact and transfer’, dan sekiranya melibatkan saksi, kita berdepan dengan kesukaran untuk saksi membuat ingatan semula tentang apa yang terjadi.”

Tambahnya lagi, suspek juga mungkin sudah jauh melarikan diri dan sukar dikesan.

Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam di sebuah takungan air yang terletak kira-kira 200 meter berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini.

Hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh mangsa, menyebabkan kes diklasifikasi sebagai  bunuh.

Polis sudah mengambil 238 sampel DNA daripada penduduk Apartmen Idaman dan merakam keterangan 86 individu bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, jejak suspek masih belum ditemui dan polis masih menggiatkan siasatan di sekitar lokasi penemuan mayat dan Blok R Apartmen Idaman.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini