Oleh: Pang Chinn Fei
KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Braille Sedunia hari ini, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) mahu akses yang lebih luas kepada informasi dalam format Braille.
Dalam kenyataannya, SBM memaklumkan format Braille perlu diwujudkan dalam teknologi seperti pencetak Braille, paparan Braille elektronik dan perisian pembaca skrin.
Ia perlu diperluaskan penggunaannya untuk memastikan tiada individu yang tercicir daripada arus pemodenan dan era digital masa kini.
Sehubungan itu, SBM menyeru kepada semua pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta dan masyarakat untuk memperkukuh usaha dalam memastikan akses yang lebih luas dalam format Braille.
Menurut SBM, walaupun banyak kemajuan telah dicapai terutamanya dengan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Marrakesh pada tahun 2022, masih banyak cabaran yang perlu diatasi.
SBM berharap, Hari Braille Sedunia akan menjadi peringatan mengenai pentingnya sistem tulisan Braille sebagai alat transformasi sosial bagi Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan dan menyeru kerajaan untuk meningkatkan sokongan terhadap penyelidikan dan pembangunan teknologi berkaitan Braille.
Hari Braille Sedunia yang disambut pada 4 Januari setiap tahun memberi penghormatan kepada pencipta sistem Braille, Louis Braille, yang telah membuka peluang kepada jutaan individu dengan masalah penglihatan untuk mengakses pendidikan, pekerjaan, dan informasi.
Di Malaysia, SBM memainkan peranan dalam mempromosikan penggunaan Braille melalui pelbagai inisiatif seperti program pendidikan, latihan kemahiran, dan pembangunan bahan bacaan dalam format Braille.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.