Tumpuan :
Nasional

Harga Tiket Feri Ke Pulau Pangkor Pula Naik RM3

LUMUT: Bukan sahaja telur, ayam, minyak alami kenaikan.

Harga tiket feri ke Pulau Pangkor juga turut mengalami kesan dan naik RM3.

Kenaikan harga tiket feri ke Pulau Pangkor dari Jeti Lumut dan Jeti Marina Island bermula Jumaat lalu mengambil kira keseluruhan kos operasi yang meningkat.

Tambang feri ke pulau bebas cukai itu naik RM3 bagi perjalanan sehala untuk dewasa iaitu RM10 atau RM20 bagi perjalanan pergi balik.

Tiket untuk kanak-kanak pula RM5.50 sehala dan RM11 pergi balik.

Sebelum ini, tiket sehala bagi dewasa RM7 dan RM14 untuk pergi balik, manakala kanak-kanak RM2.50 sehala dan RM5 untuk pergi balik.

Bagaimanapun, warga pulau peranginan itu masih menikmati harga sama iaitu RM6 untuk perjalanan dua hala.

Operator Feri Jeti Lumut, Rositah Abdul Razak, berkata kenaikan harga tiket itu mengambil kira faktor harga minyak, penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem keselamatan jentera.

Katanya, setakat ini laluan Lumut ke Pangkor mempunyai 15 feri dengan setiap satunya berkapasiti maksimum 288 penumpang dan mempunyai dua enjin utama.

“Bekalan minyak adalah kategori industri dengan harga seliter RM5.30 dan boleh mencecah RM6 kerana situasi global ketika ini. Trip perjalanan pergi dan balik memerlukan antara 170 hingga 200 liter minyak diesel.

“Penyelenggaraan dilakukan di Pangkor juga membabitkan kos yang tinggi kerana faktor harga alat ganti yang lebih mahal disebabkan kos penghantaran. Malah, kami juga menambah baik sistem keselamatan mengikut piawaian pihak berkuasa seperti memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem pemadam api jenis CO2.

“Selain itu, kami juga perlu menaikkan gaji pekerja mengikut ketetapan kerajaan, jadi semua ini membabitkan kos yang menyumbang kepada kenaikan harga tiket,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, setakat ini kehadiran pengunjung menggalakkan dan pihaknya mendapat maklum balas positif daripada pelancong di Lumut yang mengakui harga RM10 untuk sehala masih boleh diterima.

“Lebih 2,000 orang menggunakan feri di Jeti Lumut pada Sabtu lalu, manakala untuk hari biasa kurang daripada 1,000 orang.

“Setakat ini kita tidak terima rungutan daripada pelancong, cuma ada pemain industri perhotelan pulau itu menyuarakan kebimbangan kenaikan harga tiket akan memberi kesan kepada mereka (kekurangan pelancong dan tiada tempahan bilik),” katanya.

Rositah berkata, penumpang feri juga perlu menunjukkan MyKad atau dokumen pengenalan diri sebelum menggunakan perkhidmatan itu bagi mengelak menjadi mangsa ulat tiket, selain mengelak penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) bermula Jumaat lalu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Perak, Zamari Muhyi berkata setakat ini tempahan hotel ahli persatuan itu di Pangkor masih baik biarpun kadar baharu sudah dilaksanakan.

“Bagaimanapun, kita khuatir ia akan menjejaskan kehadiran pelancong pada masa akan datang,” katanya. –BERITA HARIAN

Loading...
Terkini