comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Harga telur ayam gred A, B, C turun 3 sen sebiji mulai hari ini – PM


KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kini, harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa hari ini.

“Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini melibatkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada tahun 2023 peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata harga runcit bagi telur di Sabah, Sarawak dan Labuan juga akan diselaraskan mengikut bahagian dan zon yang diwartakan.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan perkembangan semasa yang menunjukkan berlaku penurunan kos input pengeluaran telur ayam khususnya bahan asas kepada makanan ayam.

“Ingin saya tegaskan, masalah atau isu terkait kos kehidupan rakyat akan terus ditangani kerajaan secara lebih proaktif dan berkesan sambil berusaha sebaiknya dalam memampan dampak yang buruk ke atas kehidupan harian rakyat,” katanya.

Mengenai penyeludupan diesel, Anwar berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggerakkan Ops Tiris yang berlangsung sejak 1 Mac 2023 bertujuan membanteras permasalahan penyelewengan diesel bersubsidi yang memanfaatkan pihak tidak layak.

Sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 6.44 juta liter diesel dianggarkan berjumlah RM14.12 juta telah dirampas.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini