Tumpuan :
Nasional

Harga tambang bas ekspres berdasarkan kategori eksekutif atau ekonomi – APAD

KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan kadar tambang lantai bagi perkhidmatan bas ekspres jenis eksekutif adalah RM0.15 per kilometer dan kadar tambang siling bagi perkhidmatan bas ekspres jenis ekonomi adalah RM0.093 per kilometer.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan memaklumkan perkembangan itu adalah selaras tempoh setahun dari tarikh surat pemakluman kepada pihak industri bertarikh 5 Ogos 2022.

Tambahnya, ia juga selaras Peraturan-Peraturan Pengangkutan Awam Darat (Penetapan Kategori Perkhidmatan Bas Ekspres) 2022 dan diwartakan pada 9 Jun 2022 bagi pindaan spesifikasi perkhidmatan bas ekspres mengikut kelas perkhidmatan.

FOTO: NSTP

Jelas APAD, tempoh familiariasi turut dilanjutkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai ahli-ahli persatuan dan bukan ahli persatuan untuk memohon.

“Mana-mana pengendali bas ekspres bertanggungjawab mengemukakan permohonan pengubahan jenis perkhidmatan dan jadual tambang ke semua kaunter di Pejabat Wilayah atau cawangan APAD,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, mana-mana permohonan yang telah diluluskan, jadual tambang terkini akan dikeluarkan mengikut jenis perkhidmatan sama ada ekonomi atau eksekutif untuk dipatuhi oleh pengusaha.

APAD menegaskan bahawa berdasarkan peraturan semasa, tambang bagi kategori ekonomi dikawal selia dan ditetapkan oleh pihak kerajaan, manakala kadar tambang eksekutif adalah berdasarkan penawaran dan permintaan.

Tambahnya lagi, lanjutan daripada itu pengendali bas ekspres boleh merancang pelan operasi dan penjualan harga tiket bas ekspres secara dinamik dan kompetitif mengikut permintaan semasa seperti waktu puncak dan bukan puncak.

APAD dalam kenyataannya itu turut memberi jaminan untuk sentiasa bersikap terbuka dalam sebarang bentuk perbincangan dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam darat kepada rakyat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini