KUALA LUMPUR: Rakyat perlu memohon dengan syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar untuk menikmati Pakej Perpaduan pada harga lebih rendah.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata beliau menerima aduan daripada rakyat yang masih belum menikmati perkhidmatan jalur lebar pada harga seperti diumumkan kerajaan.
“Perlu dijelaskan Pakej Perpaduan bukan secara automatik. Pengguna perlu memohon dengan syarikat yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar mereka,” katanya dalam ucapan beliau ketika Majlis Pelancaran Pakej Perpaduan @MyKabel (Home Internet) di PPR Kerinchi disini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan berhubung dengan syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar untuk berbincang cara syarikat boleh memudahkan urusan pengguna yang mahu menukar pelan jalur lebar asal kepada pelan jalur lebar Pakej Perpaduan.
Fahmi berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai masalah talian sering terputus atau drop call.
“Bagi masalah ‘drop call’, kerajaan menyeru semua penyedia perkhidmatan kurangkan masalah ‘network sharing’ dengan menggunakan beberapa peralatan untuk memastikan kesalinghubungan itu diselesaikan secara terangkul,” katanya.
Beliau memberi jaminan isu itu akan mula ditangani seawal bulan Jun nanti.
Fahmi berkata, lebih 60 peratus kawasan di Kuala Lumpur mempunyai kemudahan liputan jalur lebar.
Sementara itu, beliau berkata, 4,363 tapak 5G siap dibangunkan di seluruh negara sehingga Februari lalu, menyaksikan capaian Internet mencecah 97 peratus untuk kawasan berpenduduk.
Dalam majlis hari ini, beliau melancarkan Perkhidmatan Internet Jalur Lebar mampu milik, MyKabel khusus untuk penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).
Perkhidmatan Internet Jalur Lebar khusus untuk PPR dan PA itu menyasarkan memberi manfaat kepada 16,000 isi rumah di dua PPR di Kuala Lumpur.