KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan harga minyak masak kemasan botol meskipun harga minyak sawit mentah meningkat pada Mac berbanding Januari 2023.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, bagi memastikan produk itu kekal, kerajaan menanggung subsidi RM7 juta sebulan.
“Kita telah mengambil tanggungjawab…kerajaan dan industri bersetuju untuk mengekalkan harga runcit.
“Maka tiada kenaikan ini setelah kita adakan libat urus dengan pihak industri. Untuk itu, dalam kategori minyak masak kemasan botol 1 kilogram, harga satu botol ialah RM6.90.
“Untuk 2 kilogram, harganya RM13.30. Bagi 3 kilogram, harganya RM19.60 dan untuk 5 kilogram, harganya RM30.90.
“Kita tidak menaikkan harga minyak kemasan botol bagi kategori 1 hingga 5 kilogram,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen pada Isnin.
Menurutnya, harga minyak masak paket yang dijual pada harga RM2.50 di pasaran juga kekal.
Tambah beliau, harga minyak sawit mentah pada Januari 2023 ialah RM3,908 per tan metrik dan meningkat kepada RM4,139 per tan metrik pada bulan lalu.
Jelasnya, meskipun berlaku peningkatan harga sebegitu namun harga minyak masak di pasaran tidak akan dinaikkan selepas kerajaan mengambil kira kesukaran dihadapi rakyat terutamanya ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
“Mana-mana pihak yang menjual lebih daripada harga maksimum akan dikenakan tindakan oeh pihak berkuasa.
“KPDN juga akan teruskan pemantauan di samping terus menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada kerajaan,” ujarnya.