
Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Kenaikan harga santan ketika ini menyebabkan peniaga kuih terpaksa menaikkan harga jualan mereka berbanding Ramadan lalu.
Tinjauan di Bazar Ramadan Taman Shah Bandar mendapati, harga kuih-muih dan lauk-pauk berasakan santan naik sehingga 25 peratus.
Menurut Farrah Yusof, yang telah lebih 10 tahun berniaga di bazar ramadan mengakui agak terkesan dengan kenaikan santan segar apatah lagi kebanyakan kuih jualannya berasaskan santan.
Jelasnya dia tiada pilihan selain terpaksa menaikkan sedikit harga kuih terutamanya yang banyak menggunakan santan.
“Masalah santan naik harga mendatangkan masalah juga kepada kita sebagai pengusaha makanan, kenaikan harga tu mendadak jadi kita terpaksa naikkan harga”, katanya.
Sementara itu seorang lagi peniaga, Nurul Ain Fatihah Razali berkata, meskipun harga santan mencecah antara RM14 hingga RM16 sekilogram, setakat ini dia masih mengekalkan harga jualan seperti biasa.
Peniaga nasi dagang itu juga tidak menolak kemungkinan akan menaikkan harga jualannya jika harga santan terus meningkat.
Apatah lagi dia tidak akan menggunakan santan kotak dalam masakan gulai dan nasi dagang Terengganu.
“Untuk nasi dagang kuah dengan nasi memang semua guna santan segar sebab berminyak tu memang dari santan bukan kita letak minyak, lepas tu kita jual RM5 tapi memang orang tanya tak naik ke harga, jadi nak naik harga, kesian kat orang biar la kita jual je RM5,” katanya.
Sementara itu, beberapa pembeli yang ditemui berkata, kenaikan itu sedikit sebanyak turut dirasai mereka namun mereka faham dengan situasi yang terpaksa dihadapi mereka.
Justeru itu mereka berharap para peniaga tidak menaikkan harga yang mendadak sehingga membebankan pengguna.
Harga santan di Terengganu dijangka terus naik kepada RM20 sekilogram Ramadan ini.
Ia berikutan harga borong bagi buah berkenaan ialah RM3.60 berbanding sebelum ini hanya RM3.20
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.