comscore
Tumpuan :
Nasional

Harga ikan di Kedah meningkat ekoran kekurangan bekalan

KUALA KEDAH: Keadaan cuaca yang tidak menentu di negeri ini menyebabkan harga ikan kembung meningkat sehingga mencecah antara RM10 hingga RM15 sekilogram (kg) berikutan kekurangan hasil tangkapan sejak bulan lalu.

Tinjauan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, di sini mendapati, harga ikan kembung dijual pada harga RM8, RM10 hingga RM15 sekilo bergantung pada saiz.

Nelayan, Johari Saidin, 60, berkata, hasil tangkapan ikan yang diperolehi tidak menentu disebabkan keadaan ombak beralun di tengah laut.

Katanya, sebelum ini dia mampu memperolehinya hasil tangkapan yang banyak sehingga 600 atau 700 kg sehari namun sejak beberapa hari lalu hasil tangkapan tidak menentu sekitar 200 hingga 400 kg sehari.

“Nak dapat hasil banyak kena tangkap ikan di tengah laut itu pun tak berani tengah sangat, sebab keadaan ombak kuat.

“Biasanya saya keluar ke laut jam 5.30 pagi balik ke pelantar ini pada jam 10 pagi tapi kalau dapat ikan banyak, mungkin balik awal.

“Hari ni saya dapat tangkapan sekitar 500 kg berbanding semalam cuma 200 kg saja tetapi esok tak tahu macamana,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Johari berkata, dia keluar bersama tiga nelayan dengan bot miliknya untuk menangkap ikan bagi menyara keluarga.

Beliau berkata, walaupun kos mengisi minyak bot sekitar RM100 sehari, namun hasil tangkapan ikan yang diperolehinya cukup sekadar untuk menyara keluarga serta membayar gaji nelayan.

Sementara itu, peniaga ikan, Khadijah Md Syah, 48, berkata, harga ikan di pelantar ikan itu bergantung pada hasil tangkapan setiap hari.

Katanya, kekurangan hasil tangkapan ikan berlaku ketika bulan November, Disember, Januari dan Februari setiap tahun dan dijangka pulih sekitar Mac.

“Harga di sini lebih murah berbanding di pasar awam kerana di sini dijual terus oleh nelayan sebaik tangkapan ikan mendarat.

“Paling mahal ikan dijual pun sekitar RM15 sekilogram tetapi ikut saiz dan harga di pasar awam pula lebih mahal dari di sini,” katanya.

Loading...
Terkini