Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU : Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) tidak menolak kemungkinan berlakunya peningkatan kadar zakat fitrah bagi umat Islam di negeri ini pada tahun depan.
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ia susulan kenaikan kadar harga beras melampau yang berlaku di pasaran tempatan sejak akhir-akhir ini.
Artikel berkaiatan: [VIDEO] Tiada bekalan beras tempatan sejak beberapa bulan lalu – Pemborong
Beliau berkata kebiasaannya, pegawai-pegawai di MAIDAM akan membuat tinjauan harga beras di pasaran dua atau tiga bulan sebelum Ramadan.
Artikel berkaitan: Harga beras SST diselaraskan
“Kita akan lihat harga beras yang sering dimakan oleh rakyat untuk dibawa ke dalam mesyuarat sebelum menetapkan kadar zakat fitrah yang sesuai dan seterusnya ia akan dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan selepas mendapat perkenan baginda, barulah kita isytiharkan kadar zakat fitrah yang telah dipersetujui,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sesi libat urus pemerkasaan pengoperasian MAIDAM dan pelancaran kempen potongan zakat berjadual di Taman Tamadun Islam.
Pada Ramadan lalu, MAIDAM menetapkan kadar zakat fitrah adalah RM8, RM10 dan RM24 seorang mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari.
Individu yang menggunakan beras super special tempatan perlu membayar zakat fitrah tidak kurang RM8 seorang.
Manakala, jenis beras selain daripada itu, kadar zakat fitrah adalah RM10 seorang untuk beras super import (siam) dan RM24 seorang untuk beras jenis premium seperti basmathi.
Artikel berkaitan: Penyelarasan harga beras putih import tidak dapat dielak, harga kini RM3,200 per tan metrik – BERNAS