BUKIT MERTAJAM: Kerajaan berjaya mengurangkan harga beras putih import di pasaran hasil rundingan dengan kerajaan India dalam sesi lawatan yang diadakan ke negara itu, baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau mengakui terdapat masalah berhubung beras tempatan yang masih tidak dapat ditangani sepenuhnya.
Bagaimanapun katanya, kerajaan sedaya upaya berusaha mencari jalan bagi meringankan beban rakyat.
“Masalah kos (sara hidup), harga barang perlu ada inisiatif (program) jualan murah seperti (jualan) Rahmah dan MADANI supaya dapat bagi tekanan (dijual) pada harga rendah.
“(Dari segi) beras tempatan ada masalah sedikit tetapi harga beras import (kita dapati) turun selepas rundingan dengan kerajaan India… mereka setuju jual harga lebih murah yang mana ia ringankan beban masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jualan Termurah MADANI di Jalan Kampung Masjid Timah yang dihadiri lebih 3,000 pengunjung, di sini, hari ini.
Pada program itu 1,000 ayam percuma diberikan kepada pengunjung yang membeli barangan hasil laut bernilai RM50 ke atas dan 200 kampit beras percuma bagi apa-apa sahaja pembelian barangan kering.
Dalam pada itu, Anwar menggalakkan penggunaan aplikasi oleh golongan nelayan bagi memudahkan urusan jual beli hasil laut pada harga berpatutan.
“Dengan memakai aplikasi itu, pengguna dapat membelinya secara langsung. Sebab itu perlu ada persaingan yang sihat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) bersetuju menurunkan harga jualan beras putih import di pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 per tan kepada RM2,800 per tan berkuat kuasa 1 Disember.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dilaporkan berkata persetujuan itu dicapai hasil perbincangan di antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan BERNAS, baru-baru ini.
Beliau berkata, penurunan harga itu selari penurunan harga semasa pasaran beras dunia dan pengukuhan nilai tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).