Tumpuan :
Nasional

Harga barang tidak teratur, peniaga sukar turunkan harga makanan dan minuman

Foto Hiasan

Oleh Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: ‘Penurunan harga barang asas tidak ketara, tetapi kos barangan lain semakin meningkat’.

Itu antara reaksi peniaga ekoran gesaan kerajaan meminta peniaga kedai makan menurunkan harga makanan dan minuman berikutan kos bahan mentah dikatakan menunjukkan penurunan,

Hasil tinjauan kami di beberapa lokasi kedai makan sekitar Petaling Jaya mendapati kebanyakan peniaga mahu kerajaan dan pihak berkuasa bertindak menyelaraskan harga barangan yang dilihat tidak teratur.

Peniaga mendakwa, menjadi kesukaran kepada mereka untuk menaik serta menurunkan harga makanan dan minuman sesuka hati kerana ia mengambil kira faktor kekangan memperoleh beberapa barangan asas.

Menurut peniaga, margin harga makanan yang dijual kepada pelanggan ditentukan dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kos bahan, pekerja, logistik, kuantiti dan kualiti makanan.

Peniaga Kamaruddin Jukir berkata, ada beberapa barang yang turun tetapi akan naik semula bergantung kepada musim.

“Buat masa ini kebanyakan lauk yang dijual, dikekalkan harganya. Ikan kita jual mengikut saiz, kalau kecil kita jual pada harga lima ringgit seekor kalau besar kita akan naikkan sedikit harganya.

“Kalau ayam pula memang kita jual RM5 seketul berbanding dulu kita jual RM4.50,” Katanya.

Pelanggan, Haikal Putra Rohani berkata, pengguna disaran membuat pilihan bijak dan memilih restoran atau kedai makan mengikut kemampuan masing-masing.

“Dengan memahami keadaan ekonomi dan pendapatan yang berbeza, pengguna berhak membuat pilihan sendiri. Sesetengah kedai menjual makanan dan minuman mahal tetapi ada juga kedai yang menjual dengan harga murah.

“Pokok pangkalnya pengguna itu sendiri perlu memilih dengan bijak. Mana tidaknya kalau kita tengok sekarang pun ramai orang yang mula menceburi bidang perniagaan dan persaingan ini juga menjadi faktor kenapa harga di setiap kedai berbeza,”katanya,

Sementara itu, kebanyakan peniaga memohon kerajaan meneliti semula pengawalan harga barang yang dikawal kerajaan memandangkan harga yang diperoleh berbeza mengikut tempat meskipun kerajaan sudahpun menetapkan harga siling.

Malah, mereka juga mendakwa sesetengah kedai yang menjual makanan pada harga mahal bukan berpunca daripada kos barangan tetapi mengambil kira kualiti makanan yang sedap, jenis perniagaan serta sambutan orang ramai.

Loading...
Terkini