comscore
Tumpuan :
Nasional

Harga barang terkawal selepas pelaksanaan subsidi diesel – KPDN

Oleh: Fahiz Ariff , Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh percaya harga barang kini terkawal selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Hal ini selepas pihaknya mengeluarkan 210 notis bertulis dan membuka tujuh kes siasatan pada hari pertama penyasaran subsidi dilaksanakan pada 10 Jun lalu.

“Setakat ini selepas penyasaran subsidi diumumkan, kita telah memeriksa lebih kurang 2,790 premis. Pada 23 Jun, kita telah mengeluarkan sebanyak 210 notis bertulis dan membuka tujuh kes siasatan.

“Kita dapati pada hari pertama, ada pihak mengambil kesempatan tetapi selepas notis dikeluarkan, kita panggil mereka, bagi notis untuk minta mereka jawab mengapa ada kenaikan harga.

“Kita juga dapati data terkini menunjukkan keadaan agak keadaan terkawal,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem mengenai langkah dan tindakan diambil kerajaan agar harga barang tidak melambung akibat penyasaran subsidi diesel.

Dalam pada itu tambah Fuziah, sebelum penyasaran subsidi diesel itu bermula, KPDN telah memulakan pra Ops Kesan.

Melalui operasi berkenaan, KPDN berjaya mengumpul sebanyak 1,772 stok simpanan dan ia dilakukan untuk memudahkan perbandingan harga sebelum dan selepas penyasaran subsidi diesel dilaksanakan.

“Kita telah mengutip kira-kira 1,772 unit simpanan stok (SKU) harga barang sebelum penyasaran subsidi itu bermula supaya kita boleh membandingkan apabila berlaku penyasaran subsidi,” katanya.

9 Jun lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan bahawa harga runcit diesel di semua stesen minyak di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM3.35 seliter, berdasarkan harga pasaran mengikut formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik.

Pelaksanaan penetapan harga diesel yang disasarkan dan subsidi tersebut akan menjimatkan perbelanjaan negara sebanyak RM4 bilion setiap tahun, serta mengukuhkan kedudukan kewangan negara dalam jangka masa panjang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini