comscore
Tumpuan :
Nasional

Harga ayam di Sabah hampir RM12

FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Harga ayam bulat super di Sabah, terutamanya sekitar bandar raya ini masih pada paras RM11.90 hingga RM12 sekilogram, hari ini.

Berdasarkan tinjauan, harga kawalan RM11.90 hingga RM11.99 sekilogram dikenakan di kebanyakan pasar raya dan pasar raya besar.

Manakala RM12 sekilogram di Pasar Besar Kota Kinabalu.

Hasil tinjauan juga mendapati, tiada masalah bekalan ayam di pasar raya atau pasar basah walaupun subsidi untuk bahan makanan itu akan ditamatkan mulai esok.

Selain itu, pengguna juga mempunyai pilihan untuk membeli bahagian ayam yang dipotong seperti paha, dada dan kepak yang harganya lebih tinggi berbanding ayam bulat.

Walaupun agak mahal, bahagian ayam yang dipotong lebih mendapat permintaan berbanding ayam bulat terutama pengguna yang mahu membeli bahagian tertentu sahaja seperti kepak atau yang ingin membeli dalam jumlah yang sedikit.

Harga kepak ayam segar ketika ini adalah antara RM17 hingga RM19 sekilogram, manakala bahagian paha dan dada ayam dijual antara RM13.90 hingga RM15 sekilogram.

Semalam, Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan, menyarankan supaya kerajaan mengurangkan subsidi ayam secara berperingkat berbanding menamatkan terus mulai esok.

Katanya, ia bagi mengelak kesan mendadak terhadap pengguna berikutan kebimbangan kenaikan harga ayam selain membolehkan pengguna menyerap kenaikan harga ayam tanpa merasai beban yang ketara.

Pendekatan itu juga, katanya mengambil kira kepentingan ayam sebagai bahan makanan yang menjadi sumber protein utama rakyat Malaysia, selain telur dan makanan laut.

“Pendapat saya kerajaan perlu mengurangkan subsidi ayam secara berperingkat berbanding menamatkannya terus supaya pengguna tidak mengalami impak yang mendadak.

“Ini kerana ayam dan telur adalah makanan berprotein tinggi untuk semua orang. Jadi subsidi itu perlu dikekalkan secara berperingkat bagi meringankan beban golongan B40,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini