KOTA BHARU: Harga runcit ayam standard di Kelantan mula menunjukkan trend penurunan apabila bahan makanan itu dijual dengan RM8 sekilogram hari ini berbanding RM9.40 minggu lalu.
Tinjauan di Pasar Besar Siti Khadijah di sini, hari ini, mendapati permintaan kurang menjadi faktor harga bahan makanan itu turun mendadak.
Peniaga, Kamariah Md Hanafi, 61, berkata dalam tempoh seminggu ini harga ayam turun sebanyak tiga kali menyebabkan harga jualan runcit adalah RM8 sekilogram berbanding RM9.40 sekilogram minggu lalu.
Beliau berkata, harga ayam yang dibeli daripada pemborong juga sudah mula turun.
“Saya mengambil bekalan ayam sebanyak 300 ekor sehari dan ayam habis dijual sekitar 200 ekor sahaja kerana kurang pelanggan,” katanya yang berniaga ayam sejak 35 tahun lalu di Pasar Besar Siti Khadijah, hari ini.
Pelanggan, Zira Mat Hassan, 36, berkata penurunan harga ayam itu memberi kesan positif kepadanya bagi mengurangkan perbelanjaan dapurnya.
Sebelum ini, katanya, harga ayam mahal menyebabkan ramai berkira-kira untuk membeli ayam, namun sejak harga turun ia mengurangkan bebanan belanja dapur.
“Saya harap harga ini akan turun lagi atau kekal kerana ramai terkesan jika harga naik,” katanya.