KANGAR: Harga ayam segar di beberapa negeri dilaporkan menurun sedikit walaupun kawalan harga dan subsidi ayam segar ditamatkan, bermula hari ini.
Di Perlis, tinjauan di Pasar Besar Sena mendapati rata-rata peniaga menjual ayam segar sekitar RM8.50 hingga RM10 sekilogram, berbanding RM9.40 hingga RM10.40 sebelum ini.
Peniaga, Ali Abdul Khalid, 35, berkata perbezaan harga ayam segar di pasar itu sebenarnya bergantung kepada pembekal.
“Harga ayam segar dijual RM9 sekilogram termasuk upah potong. Perbezaan harga itu adalah disebabkan pembekal ayam segar bagi penjual di sini berbeza.
Seorang lagi peniaga, Arif Fariduddin Azizan, 25 memberitahu majikannya menetapkan harga jualan ayam segar sekitar RM10 sekilogram.
“Harga RM10 ini juga tertakluk kepada pembekal kerana sekiranya pembekal menaikkan harga maka harga pasaran ayam segar di pasar itu juga akan berubah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perlis, Norazah Jaapar berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati harga ayam segar dijual sekitar RM8.50 hingga RM10 sekilogram.
“Ini berbeza sebelum ini di mana harga runcit maksimum bagi ayam standard adalah RM9.40 sekilogram dan harga runcit ayam super adalah RM10.40 sekilogram yang ditetapkan kerajaan mengikut Penentuan Harga Maksimum Ayam,” katanya.
Namun, begitu pihaknya akan tetap mengambil tindakan kepada peniaga sekiranya berlaku pencatutan harga sewenang-wenangnya terhadap barang keperluan yang lain.
Keadaan sama di Terengganu apabila harga ayam turun 15 peratus pada hari pertama penamatan subsidi di negeri itu.
Kebanyakan peniaga menjual ayam pada harga antara RM7.20 hingga RM7.99 sekilogram, berbanding harga siling sebelum ini RM9.40 sekilogram.
Peniaga ayam, Ramli Salleh, 63, berkata, walaupun kerajaan memansuhkan subsidi mulai hari ini, tetapi ada antara peniaga sudah menurunkan harga sejak Khamis lalu antara 90 sen hingga RM1.10 sen sekilogram.
Seorang lagi peniaga, Ahmad Samsul Ibrahim, 47, berkata, harga ayam segar turun antara 60 sen hingga RM1 sekilogram sejak awal bulan lalu.
“Ada antara peniaga menjual harga ayam secara runcit sejak penurunan sumber protein itu di peringkat pemborong pada harga kurang daripada RM9 sekilogram sejak Khamis lalu,” katanya.
Manakala di Pulau Pinang, peniaga ayam dilihat mengambil sikap tunggu dan lihat, apabila rata-rata peniaga masih mengekalkan harga ayam RM9.40 sekilogram sejak seminggu lalu.
“Ramai pelanggan tanya harga ayam akan naik atau tidak. Tapi kami sendiri tidak pasti dan memang ramai yang beli ayam lebih daripada seekor semalam berbanding hari ini. Jadi saya lihat ada sedikit pembelian panik semalam,” kata peniaga di Kompleks Pasar Awam Bayan Baru, Mohd Fauzi Aris.
Tinjauan di Pasar Balik Pulau, Pasar Chowrasta, Pasar Jalan Patani, Pasar Farlim dan Pasar Padang Tembak di sini mendapati ayam standard turut dijual pada harga RM9.40, manakala harga di Pasar Pulau Tikus adalah RM8.50 sekilogram, tidak berubah berbanding semalam.