Oleh Fatin Hanani Sahimi & Nurul Haifaa Abdul Halim
CYBERJAYA : Sebuah pusat kecemerlangan Palsi Serebrum perlu diwujudkan segera bagi memberi sokongan kepada penghidap penyakit itu.
Ia bagi membolehkan pendidikan yang mudah diakses khususnya kepada kanak kanak, pada masa sama rawatan perubatan dapat dilaksanakan secara kondusif.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata keperluan itu bagi membolehkan kanak-kanak yang menghidap Palsi Serebrum bergaul dan menjalani kehidupan seperti orang lain.
Jelasnya, sehingga kini hanya Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) yang bertindak memberikan perkhidmatan serta mensejahterakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini.
“Mungkin sampai masanya kita wujudkan pusat kanak-kanak Palsi Serebrum yang mana kita mahu satu polisi yang inklusif yang mana mereka ini boleh terlibat dalam ruang awam secara saksama dengan orang normal,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Palsi Serebrum disini, semalam.
Bertemakan ‘Millions Of Reasons’, sambutan kali ini dimeriahkan dengan acara CP’s Got Talent yang memberi peluang kepada mereka menggayakan kostum pelbagai watak animasi dan hiasan kerusi roda.
Muhammad Arif, 36, berkata dia dan isteri teruja menghias kostum untuk diperagakan buat anaknya, Sher Aziz Hakim, 3.
“Kami mengambil masa ni dua hari, kami buat daripada pagi sebab susah sedikit untuk menyiapkan kostum berkenaan, kami buat sampai pukul 2 hingga 3 pagi,” ujarnya.
Sementara itu, ibu tunggal, Idayu, 31, ketika ditemui berkata ini merupakan penyertaan kali keempatnya.
“Dari segi sokongan, ada masa kita tidak tahu buat apa, kita hanya menghabiskan masa duduk rumah sahaja, dan tidak tahu bagaimana nak meningkatkan prestasi anak, jadi bila masuk persatuan ini, kita dapat bertukar pandangan di samping memberi kekuatan buat diri sendiri,” jelasnya.
Hari Palsi Serebrum di seluruh dunia disambut pada 6 Oktober setiap tahun.