Tumpuan :
Nasional

Haram cium Hajar Aswad sekiranya membahayakan dan boleh membuka aib

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

KUALA LUMPUR: Mencium Hajar Aswad adalah sunat ketika persekitaran tawaf itu dalam keadaan tenang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sekiranya membahayakan keselamatan dan kadang-kadang boleh membawa aib sehingga terbuka kain dan sebagainya boleh membawa kepada hukum haram.

“Hukum berbeza mengikut keadaan. Saya mengambil kesempatan untuk menasihatkan pempengaruh untuk menggunakan pengaruh mereka ke arah kebaikan dan mengikut batasan-batasan tertentu. Khususnya dalam konteks ibadat,” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama antara JAKIM dengan UTeM dan UNITEN di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohd Na’im mengingatkan pempengaruh supaya tidak menggunakan media sosial untuk memprejudiskan agensi (berkaitan agama).

Mohd Na’im diminta mengulas isu membabitkan pempengaruh media sosial, Hafiz Mahamad memuat turun video dia terpaksa bergelut ketika mencium Hajar Aswad sehingga kain ihram terselak dan menampakkan sebahagian tubuh.

Hafiz kemudian telah memohon maaf dan menarik balik video itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini