Tumpuan :
Nasional

Hapuskan segera kartel dalam industri pertanian – PM 

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kartel lama yang memonopoli dalam industri pertanian perlu dihapuskan serta merta.

Tegas Perdana Menteri, amalan seperti kartel baja mahupun benih perlu dipantau secara meluas dalam memastikan tiada kewujudan ‘barah’ dalam industri terbabit selain memastikan perkembangan yang lebih telus.

“Baja dan benih tidak boleh dikartelkan seperti dahulu. Sebab itu kita perlukan Menteri dan KSU yang tegas dan keras dalam menyatakan bahawa amalan kartel lama, import baja, mesti dan wajib dihentikan.

“Puluhan tahun sudah bicara tentang hal ini (isu kartel) dan sekarang sudah ada menteri yang bertindak. Keputusan mesti berdasarkan fakta, apa yang terbaik untuk petani, nelayan, pekebun kecil dan ini telah dilakukan Menteri dan Kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian MAHA 2024 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, perubahan yang dapat dilihat menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merupakan bukti perubahan itu mampu dilaksanakan.

“Saya akui prestasi FAMA jauh lebih baik sekarang. Kerana sebab itu saya kata ekosistem perlu berubah. Kementerian ini besar maka tanggungjawab dan strategi sangat penting bagi negara kita.

“Jika momentum perubahan dan kemajuan ini berlaku dalam kementerian pertanian maka saya yakin landskap pertanian negara akan berubah,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menyatakan, penganjuran MAHA juga merupakan platform untuk pendedahan kepada masyarakat terhadap perubahan dan hasil pertanian dalam negara.

Ini termasuk galakan kepada golongan muda agar berfikiran secara kritikal terhadap bidang keterjaminan makanan yang perlu diberi tumpuan sepenuhnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini