KOTA BHARU: Hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan yang dibuka iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh, Pasir Mas selepas PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor terletak di Bachok ditutup.
Setakat ini 36 mangsa daripada lapan keluarga berada di PPS SK Gual To’Deh.
Sementara itu, berdasarkan portal publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Golok di Kampung Jenob melepasi paras bahaya dengan bacaan 25.16 meter (m) berbanding paras bahaya 23.50m.
Manakala Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras amaran dengan bacaan 8.51m.
Empat sungai berada pada paras berjaga-jaga iaitu Sungai Lanas di Ayer Lanas dengan bacaan 28.50m dan Sungai Golok di Kuala Jambu dengan bacaan 2.01m.
Sungai Melor di Jambatan Melor dengan bacaan 7.31m dan Sungai Semerak di Pasir Puteh dengan bacaan 2.24m.
Selain itu, semua sungai lain direkodkan berada pada paras normal.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula dari 5 Nov lepas hingga Mac 2025 dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Menurut kenyataan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS, susulan amaran hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia serta status aras air sungai diramalkan menaik dan akan melebihi aras bahaya, diramalkan banjir akan berlaku di beberapa lokasi di negeri ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.