comscore
Tumpuan :
Nasional

Hanya satu PPS dibuka di Sabah

KOTA KINABALU: Lapan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Sabah ditutup petang semalam, menjadikan hanya satu PPS yang masih aktif setakat pagi ini berbanding semalam.

Berdasarkan laporan semasa Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, satu-satunya PPS yang masih dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Anib 2, Sandakan yang menempatkan seramai 652 mangsa daripada 113 Ketua Isi Rumah (KIR) setakat jam 8 pagi tadi.

PPS yang ditutup petang semalam masing-masing dua di Kota Belud dan enam di Pitas, kebanyakannya menempatkan mangsa banjir berikutan hujan berterusan sejak kira-kira seminggu lalu.

Keadaan cuaca yang semakin baik sejak beberapa hari lalu membolehkan banjir surut dan mangsa yang dipindahkan di PPS dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Di Kota Belud, seramai 135 mangsa banjir di PPS Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chung Hwa, Kota Belud (73 mangsa) dan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kota Belud (62 mangsa) dibenarkan pulang petang semalam.

Sementara itu, di Pitas seramai 766 mangsa daripada 177 KIR di enam PPS turut dibenarkan pulang pada jam 4 petang semalam.

Mereka masing-masing dari PPS Balai Raya Agropolitan Kampung Pinggan-Pinggan (297 mangsa), Dewan Kampung Mempakad (163 mangsa), Dewan Terbuka Kanpung Rosob (156 mangsa), Gereja SIB Kampung Luntuk (79 mangsa), Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinggan-Pinggan (55 mangsa) dan Dewan Terbuka Kampung Salimpodon (16 mangsa).

Loading...
Terkini