Oleh Rusyaidi Hafiz Shahid
PETALING JAYA: Pemuda yang keciciran wang sebanyak RM30,000 di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu pada 12 Julai lalu, hanya memperoleh semula RM1,000 selepas enam hari kejadian berlaku.
Menurut Wan Mastura Wan Leh, 26, iaitu kakak kepada pemuda itu, seorang wanita bertindak memulangkan wang berkenaan kepada salah seorang ahli keluarga mereka.
Tambahnya, wanita itu dipercayai mahu menyerahkan wang itu lebih awal tetapi sesiapa pun daripada pihaknya yang berada di rumah ketika itu.
“Kami juga tidak sempat untuk memberikan sagu hati atas usaha serta kejujurannya kerana sudi memulangkan semula duit disebabkan dia tergesa-gesa pulang.
Kami harap lebih ramai yang tampil untuk memulangkan semula duit ini tidak kira berapa jumlahnya, sama ada banyak atau sedikit.
Sekurang-kurangnya dapat menampung sedikit kerugian dialami adik (Wan Ibrahim, 24),” katanya ketika dihubungi.
Mengulas keadaan Wan Ibrahim selepas kejadian itu, Mastura berkata adiknya semakin baik dan sudah mula keluar bekerja menggunting rambut sejak Sabtu.
Ketika kejadian 12 Julai lalu, Wan Ibrahim terlupa mengenai wang tunai lebih RM60,000 yang diletakkan di atas but kereta menyebabkan ia berterabur ketika dia melalui jalan dekat Kampung Lak Lok.
Ketika kejadian, pemuda itu dalam perjalanan ke bank untuk menyimpan wang berkenaan yang juga simpanannya selama empat tahun.
Dia hanya sempat mengutip kira-kira RM30,000 selepas dibantu orang ramai, namun kehilangan RM30,000 lagi dan merayu pihak yang mengambilnya untuk memulangkan wang itu semula.
Laporan polis turut dibuat di Balai Polis Kampung Raja, memandangkan wang itu mahu digunakan untuk menjelaskan hutang perniagaan, membeli kereta dan membayar upah haji arwah bapanya.