
ARAU: Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina) Kong Aik, Mata Ayer di sini merekodkan tiada kemasukan murid berbangsa Cina pada sesi pembukaan hari pertama persekolahan 2025-2026 yang bermula hari ini.
Sebaliknya, hari pertama persekolahan di sekolah yang sudah beroperasi sejak 1939 itu menyaksikan hanya 23 murid yang terdiri daripada bangsa Melayu dan Siam mendaftar masuk ke Tahun Satu di sekolah berkenaan.
Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin berkata, pihaknya menyedari akan perkembangan berkenaan dan melihat bahawa lokaliti sekolah berkenaan yang berada di kawasan penempatan majoriti Melayu menyebabkan ada ibu bapa dari bangsa bukan Cina yang lebih senang menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan.
“Kami sedar akan perkembangan berkenaan di mana tidak ramai murid Cina bersekolah di SJKC Kong Aik ini sebaliknya ia pula menjadi pilihan ibu bapa bangsa Melayu, Siam dan India untuk anak mereka mendapatkan pendidikan awal di sekolah itu.
“Faktor lokaliti kawasan dilihat memainkan peranan dalam hal ini kerana di sekeliling kawasan sekolah ini terutama Pekan Mata Ayer itu juga adalah sebuah kawasan bermajoriti bangsa Melayu serta murid Cina dilihat lebih banyak pergi ke sekolah kebangsaan (SK).
“Manakala, ibu bapa dan penjaga murid Melayu, Siam dan India pula lebih senang ke sekolah itu disebabkan dekat dengan rumah serta peluang untuk mempelajari Bahasa Mandarin yang turut diajar di sekolah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan sesi pembukaan hari pertama persekolahan 2025-2026 di SJKC Kong Aik, Mata Ayer dan Sekolah Kebangsaan (SK) Jelempok, di sini.
Katanya, pihaknya bagaimanapun tidak menghalang atau menyekat ibu bapa atau penjaga murid bukan Cina ini untuk menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan di sekolah berkenaan.
“Tidak banyak sebenarnya SJK Cina dan Tamil di negeri ini di mana hanya terdapat 10 SJK Cina dan sebuah sahaja SJK Tamil di Perlis, malah jadi seperti juga SJK Cina, sekolah aliran India juga hanya terdapat di Kangar sahaja di mana murid berbangsa India dari Arau dan lain-lain kawasan terpaksa datang ke Kangar untuk bersekolah di sekolah itu.
“Manakala ada juga (keluarga bukan Melayu) yang lebih memilih untuk bersekolah di SK disebabkan dekat dengan kediaman yang memudahkan mereka untuk menghantar dan menjemput pulang anak mereka dari sekolah,” katanya.
Bagi Guru Besar SJK (C) Kong Aik, Leong Yong Siang pula, kemasukan murid berbangsa Cina di sekolahnya semakin menurun saban tahun sebaliknya murid berbangsa Melayu, Siam dan India pula lebih banyak mendaftar masuk ke sekolah itu.
“Pada tahun 2023, terdapat lima murid Cina mendaftar memasuki Tahun Satu di sekolah ini namun ia menurun kepada hanya tiga orang murid sahaja tahun lalu.
“Malah, pada tahun ini, tidak ada seorang pun murid Cina mendaftar untuk memasuki Tahun Satu di sekolah ini,” katanya.
SJKC Kong Aik, Mata Ayer mempunyai 190 orang murid dan 17 orang tenaga pengajar berlainan bangsa dan daripada jumlah itu, murid Melayu dan Siam mendominasi populasi murid di sekolah itu dengan terdapat 93 orang murid Melayu dan 69 murid Siam.
Manakala, hanya terdapat 19 murid berbangsa Cina sahaja yang bersekolah di situ diikuti lima orang murid India dan empat orang dari lain bangsa.
Sesi pembukaan hari pertama persekolahan 2025-2026 yang bermula hari ini menyaksikan seramai 46,944 pelajar sekolah menengah dan rendah direkodkan mendaftar bagi pembukaan sekolah sesi baharu itu.
Daripada jumlah itu, seramai 19,962 orang adalah pelajar sekolah menengah manakala 26,982 murid sekolah rendah yang masing-masing bersekolah di 30 sekolah menengah dan 74 sekolah rendah di negeri itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.