comscore
Tumpuan :
Nasional

Hanya Menteri Besar dan Exco agama Johor serta yang diberi kebenaran boleh berucap dalam masjid dan surau

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Hanya Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Exco Hal-Ehwal agama Islam Negeri, Mohd Fared Khalid serta mereka yang diberi kebenaran oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor, (JAINJ) dibenarkan berucap dan menyampaikan bantuan dalam masjid atau surau, di seluruh Johor sempena pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.

Garis panduan larangan aktiviti berpolitik dalam program pengimarahan masjid dan surau sepanjang tempoh berkempen bermula semalam hingga 9 September depan.

Pengarah JAINJ, Jamaludin A. Hamid berkata, garis panduan itu dikeluarkan bagi menjelaskan kaedah pengimarahan masjid dan surau dengan penglibatan mana-mana ahli politik supaya tidak disalah erti dan menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat setempat.

Katanya, peraturan itu terpakai kepada semua pihak, termasuk ahli jawatankuasa masjid dan surau yang menganjurkan program pengimarahan masjid atau surau.

Larangan itu turut membabitkan kawasan yang diwakafkan atau mana-mana bangunan atau kawasan lapang dalam kawasan masjid atau surau.

Aktiviti yang dilarang termasuklah berceramah, kuliah, tazkirah, berkempen, meletak bendera parti, logo parti, memakai baju yang mempunyai lambang parti serta mengedarkan cenderahati bertemakan mana-mana parti.

Sebarang aduan mengenai pelanggaran garis panduan itu boleh dibuat di pejabat kadi daerah untuk tindakan lanjut.

Garis panduan itu telah mendapat perkenan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pengerusi Majlis Agama Islam Johor.

Mana-mana pihak yang melanggar arahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 9, Enekmen kesalahan jenayah syariah 1977.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksima RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Loading...
Terkini