KOTA BHARU: Pengalaman menyertai lebih 10 operasi membanteras komunis termasuk di sempadan Malaysia-Thailand pada tahun 1970-an ketika berkhidmat dalam Pasukan Batalion Ke-7 Rejimen Renjer sukar dilupakan buat bekas pesara tentera, Pegawai Waran II Jusoh Isa, 75.
Jusoh berkata detik yang paling sukar dilupakan adalah ketika terbabit dalam Operasi Doya Musnah pada tahun 1974 di Gubir, Kedah apabila rakannya terpijak jerangkap samar ditanam komunis sehingga mengakibatkan kecederaan parah di bahagian kaki, paha, perut dan yang paling mengerikan sehingga menembusi muka.
Katanya, dia bersama kumpulan platunnya seramai 32 anggota berhenti berehat selain mahu memasak untuk mengisi perut dan seorang rakannya dikenali Sarjan Mat Pie yang berasal dari Sabah membuang air kecil tidak jauh dari tempat mereka berhenti rehat.
“Tidak lama selepas itu, terdengar satu letupan kuat iaitu pada jarak kurang dari 50 meter dan apabila memeriksa sekeliling, saya terkejut melihat Sarjan Mat Pie terbaring berlumuran darah dan mengerang kesakitan akibat kecederaan parah yang dialami hampir di keseluruhan anggota badan.
“Bagi mengurangkan kesakitan, pihak perubatan dalam pasukan kami memberikan morfin kepada Sarjan Mat Pie dan selepas hampir empat jam menahan kesakitan, akhirnya dia dibawa keluar oleh pasukan bantuan menggunakan helikopter dan diterbangkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Jusoh berkata, dia dan pasukan diterbangkan ke lokasi bagi menjejak musuh dengan menaiki helikopter yang mengambil masa 30 minit untuk sampai dan sebaik tiba mereka dikehendaki terjun pada ketinggian dua meter atas faktor keselamatan.
“Sebelum usaha menjejaki pengganas komunis dimulakan, saya dan beberapa anggota platun lain perlu melakukan tinjauan pada jarak 400 meter dari lokasi mendarat berpandukan peta bagi memudahkan bantuan diminta seperti tembakan meriam sekiranya kami diserang hendap musuh.
“Sepanjang operasi memburu komunis di dalam hutan, kesan tapak kaki serta ranting pokok yang patah menjadi petunjuk kepada saya dan rakan-rakan bahawa kawasan itu pernah dilalui oleh komunis selain perlu berhati-hati kerana jerangkap samar dipasang oleh musuh boleh berada di mana-mana sahaja,” katanya.
Bapa kepada empat anak dan datuk lapan cucu ini berkata, antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan juga ialah apabila mereka hanya makan garam selama tiga hari selepas bekalan makanan terputus disebabkan helikopter tidak dapat memasuki kawasan hutan berikutan keadaan cuaca serta hujan.
“Dalam tempoh tiga hari itu, ada rakan tidak mampu bertahan kerana kelaparan dan pada ketika itu kami menjadikan ranting buluh sebagai alat untuk menangkap ikan sungai.
“Dalam keadaan darurat selain perlu meneruskan operasi menjejaki pengganas komunis, kami terpaksa makan apa sahaja sumber yang ditemui untuk kelangsungan hidup bagi membolehkan kami terus bertahan di dalam hutan,” katanya.
Katanya, ketika operasi, dia dan rakan perlu berada di dalam hutan sehingga tiga bulan, malah terpaksa berpisah dengan keluarga dalam tempoh yang sangat lama namun mereka tidak pernah berkira demi kedaulatan negara tercinta.
“Walaupun tiada jaminan untuk saya atau rakan-rakan pulang dalam keadaan selamat setiap kali menyertai operasi, saya tetap memilih untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.
“Generasi muda sekarang seharusnya lebih menjaga dan sayangkan negara kerana usaha mencapai kemerdekaan serta mempertahankan keamanan negara bukanlah suatu yang mudah kerana banyak nyawa perajurit terdahulu yang terkorban demi mengecapi kemerdekaan,” katanya. – HARIAN METRO