Hukuman rotan terhadap murid hanya boleh dilaksanakan oleh guru besar atau guru yang diberikan kuasa, tertakluk kepada garis panduan ketat dalam Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, peruntukan perundangan sedia ada tidak memberi sebarang kuasa kepada ibu bapa atau orang awam untuk mengambil tindakan fizikal terhadap murid yang melakukan kesalahan, termasuk rotan.
Menurutnya, hukuman rotan juga tidak boleh dilaksanakan di khalayak ramai atau di perhimpunan sekolah, seperti yang diperincikan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 7/2003 berkaitan Kuasa Guru Merotan Murid, selain tidak boleh dikenakan ke atas murid perempuan.
“Hukuman rotan adalah salah satu bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap murid yang melakukan kesalahan berat, termasuk kesalahan buli, namun hukuman ini tidak bertujuan mendera, sebaliknya bertindak sebagai kaedah pendidikan yang bersifat membimbing dan mendisiplinkan murid supaya dapat memahami implikasi perbuatan mereka.
“Hukuman rotan hanya boleh dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan dan oleh pihak yang diberi kuasa.
“Kementerian Pendidikan (KPM) juga menegaskan pendekatan pendidikan yang bersifat membina, seperti bimbingan kaunseling dan pengukuhan nilai murni adalah langkah lebih efektif dalam membentuk peribadi murid yang berakhlak dan berintegriti,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai sama ada kementerian bersedia membenarkan waris pelajar yang dibuli merotan pembuli dalam kalangan pelajar pada perhimpunan pagi di sekolah.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM berpandangan pendekatan yang lebih berkesan dalam menangani sebarang isu disiplin membabitkan pelajar adalah dengan memperkukuh komunikasi antara pihak sekolah dan ibu bapa.
“KPM sentiasa berusaha memastikan pelaksanaan disiplin di sekolah sejajar dengan dasar pendidikan yang menitikberatkan pembentukan akhlak dan integriti.
“Semua pihak diseru untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan persekitaran sekolah yang selamat, kondusif dan harmoni bagi melahirkan generasi yang berdisiplin dan bertanggungjawab,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.