Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) menegaskan hanya dua kakitangannya yang terlibat dalam proses memberi keterangan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Puspakom menerusi kenyataannya berkata, seorang lagi individu yang merupakan Pengurus Wilayah Puspakom sama sekali tidak terlibat dalam proses berkenaan.
“Terdapat beberapa laporan berita yang menyatakan bahawa tiga kakitangan PUSPAKOM dipanggil untuk memberi keterangan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini.
“PUSPAKOM ingin menegaskan bahawa hanya dua kakitangan PUSPAKOM yang terlibat dalam pengambilan keterangan ini.
“Seorang Pengurus Wilayah PUSPAKOM turut bersama hadir untuk menemani mereka, dan beliau tidak terlibat dengan kes yang dilaporkan berikutan pemeriksaan mengejut JPJ di premis PUSPAKOM semalam,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan tiga invididu daripada Puspakom telah dipanggil memberi keterangan susulan kes sebuah kenderaan yang lulus pemeriksaan meskipun keadaannya tidak selamat.
Semalam, JPJ telah melaksanakan pemeriksaan mengejut melibatkan 25 premis PUSPAKOM di seluruh negara.
Sebanyak 29 kenderaan dikenakan tindakan penguatkuasaan manakala 69 notis telah dikeluarkan membabitkan kesalahan seperti penggunaan tayar celup dan sebagainya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.