Tumpuan :
Nasional

‘Hanya beberapa minit selepas hujan, air deras terus hanyutkan kami’

Enam mangsa yang berjaya diselamatkan pasukan bomba dalam kejadian kepala air di Lembah Maksina, Makuou, Tungku, dekat sini. – FOTO: Ihsan Bomba

LAHAD DATU: “Hanya beberapa minit selepas hujan, kami terdengar bunyi arus deras yang sangat kuat lalu berlari ke tebing dan berpaut namun kami dihanyutkan arus deras air sungai.

Itu perkongsian mangsa yang terselamat dalam tragedi kepala air ketika melakukan aktiviti riadah di Lembah Sungai Maksina dekat Makuau, Tungku, di sini yang sempat berpaut di tebing dan pokok besar.

Menurut Muhammad Azman Hamzah, 26, kejadian itu berlaku terlalu cepat dan tidak sempat melarikan diri lebih jauh berikutan aliran sungai yang mengalir deras.

Katanya, kejadian berlaku selepas hujan ketika mereka dalam perjalanan pulang menyusuri Lembah Sungai Maksina sebelum tiba-tiba terdengar bunyi deruan air sungai yang kuat dari hulu.

Dia bersama 10 lagi peserta dan pemandu arah serta sekumpulan lagi individu memulakan aktviti ‘River Hiking’ di kawasan berkenaan kira-kira jam 9 pagi semalam.

“Ketika dalam perjalanan pulang, awan mulai mendung dan beberapa minit kemudian hujan. Ketika itu tiada apa yang berlaku dan kami meneruskan perjalanan di kawasan sungai berkenaan.

“Bagaimanapun pada jam 3.30 petang, saya terdengar bunyi arus deras sangat kuat dan menyedari itu adalah kepala air lalu berlari dan berpaut di tebing sungai namun dihanyutkan arus deras sungai.

“Masa dihanyutkan, kami berusaha ke tebing semula dan dapat berpaut pada sebatang pokok besar dan naik untuk berlindung,” katanya menceritakan detik cemas ketika dihanyutkan arus deras.

Menurutnya, mereka hanya menyedari ada rakannya terkorban selepas berjaya diselamatkan pasukan bomba.

“Kami dimaklumkan, dua rakan kami dan ‘guide’ terkorban. Ini pertama kali kami melakukan hiking di kawasan berkenaan.

“Tidak menyangka berlaku kejadian kepala air hingga meragut nyawa rakan kami,” katanya.

Loading...
Terkini