Tumpuan :
Nasional

Hanya 45 item bunga api diluluskan untuk jualan – Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan hanya 45 item bunga api yang telah diluluskan untuk dijual sejak 2018 dengan mematuhi prosedur operasi standard yang dikeluarkan.

Setiausaha PDRM DCP Alzafny Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata jualan umum bunga api hanya dibenarkan bagi perayaan Aidilfitri/Aidiladha, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Gawai dan Keamatan.

 

Beliau berkata antara 45 bunga api berkenaan adalah pop-pop, Happy Boom Glow of Sunset, Happy Boom Sunset Bar, Happy Boom Glories dan Happy Boom Flower Silver Cracking Rain (20 shot) bagi kategori jualan umum.

Sembilan item bunga api dalam kategori bersyarat dan tidak boleh diniagakan oleh umum kecuali ejen berlesen antaranya adalah Happy Boom Red Cracker (lapan inci), Happy Boom Red Cracker (Cake) dan Happy Boom Celebration Red Fire Cracker.

Selain itu, Happy Boom Assorted Celebration Cake Repeater (satu inci 49 Shot), Happy Boom Assorted Celebration Cake Repeater (1.5 inci 138 Shot), Happy Boom Shoot Cake (satu inci 16 Shot), Happy Boom Shoot Cake (satu inci 36 Shot) serta Happy Boom Tikus 50 (50 missile).

“Penjualan bunga api secara dalam talian adalah dilarang sama sekali dan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Masyarakat juga diingatkan agar tidak bermain bunga api melebihi pukul 12 tengah malam yang boleh mendatangkan kacau ganggu atau bahaya kepada umum,” katanya.

Alzafny berkata sekiranya ingkar, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) atau Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM 10,000 atau kedua-duanya sekali.

“PDRM menasihatkan orang ramai agar bermain bunga api di kawasan yang lapang supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat,” katanya.

Menurutnya masyarakat juga diseru agar lebih bertanggungjawab dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan serta sentiasa berwaspada semasa bermain bunga api dalam mana-mana sambutan perayaan.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini