comscore
Tumpuan :
Nasional

Hanya 250,000 pekerja p-hailing & e-hailing mencarum PERKESO, RUU berkaitan pekerja industri gig bakal dibentang

Foto hiasan

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Satu rang undang-undang (RUU) berkaitan pekerja gig akan dibentangkan bagi memastikan kebajikan 1.16 juta pekerja industri itu dijaga.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, RUU itu disasarkan dibaca kali pertama pada suku ketiga tahun ini.

“Hanya kira-kira 250,000 orang sahaja daripada 1.16 juta pekerja gig sama ada p-hailing atau e-hailing turut serta dalam PERKESO.

“Untuk itu, satu akta baharu mencakupi soal pekerja-pekerja gig ini akan dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan kita ada tarikh sasaran untuk bacaan pertama kali pada sidang Parlimen antara Oktober hingga Disember,” katanya selepas mesyurat Jawatankuasa Tinggi Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi, Suruhanjaya Ekonomi Gig yang bakal ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam tempoh dua bulan dari sekarang, bukan sahaja meliputi pekerja p-hailing dan e-hailing, tetapi juga pekerja separuh masa dan pekerja separa profesional.

Ujarnya lagi, dalam tempoh dua minggu dari sekarang, KESUMA akan membentangkan memorandum Jemaah Menteri bagi mewujudkan akta yang meliputi beberapa aspek ekonomi gig secara holistik.

“Ini adalah satu ‘game changer’ yang dilakukan kerajaan kerana hanya terdapat beberapa negara saja di dunia yang telah melaksanakan akta atau Suruhanjaya Ekonomi Gig ini.

“Pihak Persatuan Buruh Antarabangsa (ILO) hanya akan mengadakan persidangan mengenai perkara ini pada tahun hadapan tetapi Malaysia melalui KESUMA mengambil langkah proaktif untuk melakukannya lebih awal,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini