Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 600 ekor ayam percuma diagihkan kepada mangsa terjejas banjir di Pasar Chabang Tiga, di sini, mendapat sambutan baik dari orang ramai.
Selain mangsa banjir, pemberian ayam percuma itu turut diagihkan kepada golongan asnaf.
Orang ramai mula beratur di pasar tersebut seawal jam 7 malam, walaupun waktu pengagihan bermula jam 8.30 malam.
Setiap seorang hanya diberikan seekor ayam sahaja dan mereka amat gembira dengan pemberian itu.
Menurut Nasruddin Che Mat, esok dia dan keluarga dapat menikmati lauk ayam untuk makan tengah hari bersama keluarga.
“Bertuah juga lah ni pun orang panggil rezeki masing-masing, mula-mula mari rasa tak yakin beratur sebab ramai orang. Bila tiba giliran saya Alhamdulillah dapat jugak ayam percuma boleh masak kat rumah”, katanya.
Bagaimanapun bagi yang terlewat, mereka amat kecewa kerana pulang dengan tangan kosong.
“Tunggu dari pukul 7, kalau boleh buat lebih sikit supaya orang boleh belaka dan tak ada rezeki hari ini”, kongsi Nor Idayu Ghani.
Pengagihan ayam percuma ini merupakan inisiatif peniaga ayam di pasar berkenaan.
Zulfakrul Amin Abd Manan, 37, berkata, beliau menghabiskan hampir RM10 ribu untuk kos keseluruhan 600 ekor ayam.
Dia tidak mengjangka sambutan begitu luar biasa sehingga lebih 2,000 orang memenuhi pasar berkenaan.
Katanya lagi, sebanyak 500 ekor ayam habis dalam masa 15 minit.
Dia terpaksa menambah 100 ekor lagi bagi tidak menghampakan mereka yang datang.
“Program hari ni saya tak jangka seramai 2,000 yang datang. Kita dah buat secara sistematik dengan memastikan semua yang datang beratur, tapi biasalah bila dah ramai tak terkawal lah”, katanya.
Dia bercadang untuk mengadakan kembali program seumpama itu dimasa hadapan dengan menambah lagi jumlah ayam bagi memastikan setiap orang tidak pulang dengan tangan kosong.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.