comscore
Tumpuan :
Nasional

Hampir separuh rakyat sukar sediakan RM1,000 untuk kecemasan – kata Gabenor BNM

Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour (tengah) melancarkan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) Proaktif dalam Karnival Celik Kewangan Johor di Aeon Mall Kulaijaya, hari ini. – FOTO: Ihsan BNM

KULAI: Sebilangan besar rakyat negara ini masih bersikap “jangka pendek” dan kurang peduli dalam pengurusan kewangan termasuk menghadapi situasi tidak dijangka.

Gabenor Bank Negara (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata ini menyebabkan hampir separuh daripada rakyat negara ini sukar menyediakan RM1,000 bagi tujuan kecemasan.

Kajiselidik Rangkuman dan Keupayaan Kewangan yang diadakan setiap tiga tahun sejak 2015, juga mendapati satu daripada tiga rakyat negara ini tidak berminat mengambil tahu mengenai insurans dan takaful.

“Alhamdulillah, kaji selidik ini telah menunjukkan peningkatan yang konsisten dalam tahap pengetahuan kewangan rakyat Malaysia sejak tahun 2015.

“Bagaimanapun, apa yang membimbangkan ialah peningkatan pengetahuan dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak seiring dengan sikap dan amalan pengurusan kewangan mereka.

“Statistik Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) pula menunjukkan ramai yang terpaksa berhutang apabila memerlukan wang di waktu menghadapi kecemasan,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Celik Kewangan Johor di Aeon Mall Kulaijaya,  hari ini.

Tambahnya, kajian itu juga menunjukkan satu daripada tiga rakyat Malaysia merasa terbeban dengan hutang, walaupun kebanyakan mereka mempunyai pendapatan berpatutan.

Katanya,  ramai yang bergelut dengan masalah kewangan akibat pengurusan kewangan yang lemah sejak usia muda.

“Kaji selidik yang dijalankan juga menunjukkan 37 peratus daripada rakyat Malaysia berkongsi kata laluan dan nombor pin mereka kepada keluarga dan rakan,” katanya.

Beliau turut menggariskan empat cabaran dihadapi pengguna ketika ini iaitu memahami pelbagai produk kewangan  seperti perbankan digital, insurans/takaful, pelaburan dan aset digital serta sukar mengendali dan mengurangkan hutang.

Cabaran ketiga ialah dalam membuat pelaburan bijak selain melindungi diri daripada penipuan dan gangguan siber.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini