![](https://media.buletintv3.my/2024/02/790B599F-8C0F-4602-AD34-B7FA2980B870.jpeg)
TAWAU: Hampir semua rumah di Kampung Hidayat, Batu 4 di sini dikesan menggunakan penyambungan elektrik secara haram.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau selepas beliau membuat lawatan ke kampung itu bersama Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar.
Lawatan itu asalnya bertujuan menilai kesesuaian pelaksanaan Penyaluran Tenaga Bebas (IPD) ke kampung itu.
Menurut Madius, penyambungan elektrik secara haram itu boleh menjadi satu ancaman kepada keselamatan awam dan SESB terpaksa mengalami kerugian besar.
![](https://media.buletintv3.my/2024/02/7040B53C-5D5D-40F1-AF7C-95084F65E91D.jpeg)
“Bagaimanapun ketika di lokasi, kami melihat dengan jelas penyambungan haram elektrik di hampir setiap rumah. Kami mengambil serius perbuatan jenayah ini dan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Bombalai awal hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Madius yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri berkata perbuatan itu menyebabkan SESB kerugian RM183,156 setiap bulan.
Tambah Madius, perbuatan jenayah itu boleh mendatangkan risiko kebakaran dan renjatan elektrik kepada orang awam.
“Saya menggesa orang awal yang menyaksikan perbuatan mencuri elektrik supaya tampil membuat laporan polis. Pencuri elektrik adalah antara punca menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Sabah,” katanya.
Mengikut laporan, SESB melaporkan kerugian kira-kira RM200 juta setiap tahun akibat kecurian elektrik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.