Tumpuan :
Nasional

Hampir seminggu tapak pelupusan sampah terbakar, kampung diselubungi asap

Kepulan asap dari puncak timbunan sampah di tapak pelupusan sampah TPSTL dapat dilihat dari Kampung Tanjung Langsat. – Foto : NSTP

PASIR GUDANG : Lebih 1,000 penduduk Kampung Tanjung Langsat dan Kampung Perigi Acheh di sini terpaksa berdepan masalah asap tebal yang berbau busuk hampir seminggu.

Kejadiaan itu didakwa berpunca daripada kebakaran yang berlaku di Tapak Pelupusan Sampah Tanjung Langsat (TPSTL) di sini sejak Jumaat lalu.

Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam, Mohd Rafee Abdullah berkata, tapak pelupusan sampah yang hanya terletak kira-kira satu kilometer (km) dari dua kampung terbabit, dipercayai masih terbakar dalam timbunan sampah.

Katanya, asap tebal dapat dilihat diatas puncak timbunan sampah yang ada kalanya bertiup mengikut laluan angin ke arah perkampungan berdekatan.

“Kami dimaklumkan kebakaran telah dipadam, tetapi sehingga kini asap masih tebal di kawasan itu. Semalam paling teruk, asap ditiup angin ke arah kampung. Itu belum bau busuk terbakar yang kami hidu, anak saya berusia 11 tahun beberapa hari tidak dapat bersekolah kerana batuk.

“Kebakaran di TPSTL ini bukan kali pertama, sebelum ini pernah juga terbakar dan ambil masa berminggu-minggu untuk pulih sepenuhnya.

“Keadaan paling teruk pada waktu malam, kesan pembakaran masih lagi ada. Siang kita masih lagi nampak asap tetapi malam apinya masih dapat dilihat dari jauh.

“Dengan keluasan lebih lima hektar, TPSTL pastinya mempunyai timbunan sampah yang pelbagai. Seharusnya, tapak tersebut dipindahkan ke

tempat lain yang jauh dari kawasan industri dan penempatan manusia. Atau menggunakan teknologi lebih baik dalam urusan melupuskan sampah,”katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Langsat di sini, hari ini.

Pekerja kilang, Yusof Osman, 53 berkata asap dari kebakaran itu dapat dihidu dan menyelubungi kampung pada masa tertentu mengikut arah angin bertiup.

“Sejak beberapa hari ini memang mengganggu kami di kampung ini. Laporan berhubung masalah ini sudah dibuat Ketua Kampung kepada pihak berwajib.

“Jadi saya pun tidak boleh hendak cakap apa sebab kebakaran ini sudah terjadi beberapa kali sebelum ini, dan sebelum ini hanya mengharapkan hujan lebat tiga atau empat hari untuk padam sepenuhnya.

“Seperti pagi semalam asap itu bertiup ke kampung menyebabkan semuanya gelap jadi kami semua takut. Keadaan itu berlaku dalam jam 9 pagi, sehingga membataskan jarak penglihatan, kampung kami seolah diselubungi asap yang bercampur dengan bau busuk terbakar,”katanya.

Jumaat lalu, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah mengeluarkan notis penutupan sementara pengoperasian TPSTL susulan kebakaran yang membabitkan keluasan dianggarkan 3.24 hektar.

Loading...
Terkini