
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang dijangka melanda hampir seluruh negara sehingga jam 6 petang ini.
Namun Perlis, Melaka, dan Labuan dilapor tidak terjejas.
Menurut kenyataan MetMalaysia, negeri-negeri yang akan mengalami cuaca buruk ialah seluruh Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala Kedah melibatkan Kulim dan Bandar Baharu.
Di Pulau Pinang, ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang dijangka berlaku di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, dan Seberang Perai Selatan.
Di Negeri Sembilan, kawasan yang terlibat adalah Jelebu.
Di Johor, cuaca buruk dijangka melanda beberapa daerah, termasuk Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi, dan Johor Bahru.
Bagi Pantai Timur, kawasan yang terjejas di Kelantan melibatkan Tanah Merah dan Machang, Terengganu (Besut, Setiu, dan Hulu Terengganu), dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, dan Temerloh).
Di Sarawak, hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (termasuk Sibu dan Selangau), Mukah, Kapit (Belaga), Bintulu (Tatau), serta Miri (Beluru, Telang Usan, dan Miri).
Di Sabah, kawasan yang terlibat adalah Kudat, termasuk Pitas dan Kudat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.