comscore
Tumpuan :
Nasional

Hampir RM1 juta wang pusaka lebur angkara skim pelaburan sawit di Sabah

KUALA LUMPUR: Baru nak meraih pendapatan pasif, seorang eksekutif jualan bersama adik lelaki dan ibunya rugi hampir RM1 juta ringgit, selepas menyertai satu skim pelaburan ladang kelapa sawit di Sabah.

Lebih menyedihkan, modal yang digunakan untuk menyertai skim itu adalah wang pusaka peninggalan keluarga.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 42, berkata, dia menyertai pelaburan itu selepas diperkenalkan oleh rakan mendiang bapanya pada 2014.

“Saya melabur sebanyak RM280,000, manakala adik lelaki saya juga melabur kira-kira RM200,000 pada Ogos 2014 menggunakan wang pusaka peninggalan mendiang bapa.

“Kami tertarik untuk melabur kerana dijanjikan pulangan lapan peratus setahun. Ketika itu (pada 2014), saya mengalami kesulitan kewangan yang menyebabkan saya perlu pendapatan stabil jangka masa panjang.

“Malah, saya juga dimaklumkan syarikat itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan banyak promosi mengenai pelaburan ini di akhbar tempatan selain diuar-uarkan oleh golongan VVIP(kenamaan) menyebabkan saya tertarik untuk menyertainya,” katanya.

Tan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Pejabat Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Yew Jia Haur, di sini, hari ini.

Tan berkata, pada mulanya, dia mendapat lapan peratus pulangan setahun yang dijanjikan menyebabkan ibunya juga mahu menyertai pelaburan itu dengan modal sebanyak RM400,000 pada awal 2021.

“Namun selepas lapan tahun tempoh pelaburan saya matang pada Ogos 2021, syarikat memberi pelbagai alasan apabila diminta memulangkan modal serta pulangan dijanjikan.

“Nasib ibu saya lebih kasihan apabila tidak mendapat pulangan lapan peratus setahun itu hanya selepas dua tahun menyertai pelaburan berkenaan,” katanya.

Tan berkata dia terkilan apabila syarikat itu bercadang mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) di Sabah pada 27 September nanti bagi membincangkan penukaran modal pelaburan mereka kepada pemilikan saham syarikat.

“Baru-baru ini, kami mendapat surat daripada syarikat itu menyatakan mereka mahu menukar modal pelaburan kepada pemilikan saham dan cadangan itu akan dibawa dalam AGM nanti.

“Sejujurnya saya tidak mahu pemilikan saham syarikat itu kerana mereka sendiri mengaku tiada wang. Jadi apa keuntungan kepada kami untuk menjadi rakan kongsi?

Sementara itu, Jia Haur berkata, difahamkan terdapat lebih 8,000 pelabur menyertai pelaburan dengan syarikat berpangkalan di Sabah itu dengan jumlah modal kira-kira RM600 juta.

“Jumlah pelabur dan modal pelaburan itu diperoleh daripada ejen syarikat berkenaan sendiri.

“Difahamkan kebanyakan pelabur adalah dalam kalangan peniaga kecil dan pesara yang buta huruf, tidak boleh berbahasa Melayu serta Inggeris.

“Justeru itu, kami mahu pelabur yang turut merasa terpedaya dengan syarikat itu agar menghubungi kami di talian 017-4573854 supaya mereka dapat dikumpulkan untuk tindakan lanjut,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini