Tumpuan :
Nasional

Hampir 80 peratus unit kediaman SPNB, 65 peratus RMR dimiliki golongan belia – Kor Ming

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Hampir 80 peratus unit kediaman Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dimiliki golongan belia di negara ini.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, ia membabitkan 19,909 daripada 25,903 unit kediaman yang telah dijual di negara ini sehingga 30 September lalu.

Bagi tempoh sama, golongan belia juga memiliki 65 peratus Rumah Mesra Rakyat (RMR).

“Sebanyak 25,903 unit Kediaman SPNB telah dijual dan sebanyak 19,909 unit iaitu 76.9 peratus adalah dimiliki golongan belia.

“Manakala, sebanyak 44,983 unit iaitu 65 peratus daripada 69,205 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) telah dibina adalah dimiliki oleh golongan belia,” jelasnya.

Bagi Rumah Mampu Milik (RMM) pula jelasnya, sebanyak 60 peratus unit kediaman juga dimiliki oleh golongan belia di negara ini.

“Sebanyak 25,030 daripada 41,671 iaitu 60.1 peratus daripada unit RMM yang dibuka untuk jualan oleh PR1MA adalah dimiliki oleh golongan belia. Ini tidak termasuk projek usahasama yang dilaksanakan oleh PR1MA dan sebanyak 166 PPR telah siap dibina dengan 104,081 unit rumah.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 26 PPR yang merangkumi tiga projek PPR disewa, dua projek PPR dimiliki dan 21 projek PPR RTO adalah di bawah seliaan KPKT. Berdasarkan rekod, sebanyak 35.90 peratus kategori ketua isi rumah (KIR) adalah di antara umur 31 hingga 40 tahun,” katanya.

Dari sudut kerajaan tambahnya, beberapa inisiatif telah dijalankan termasuk sokongan pembiayaan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sehingga RM500,000 bagi golongan belia memiliki rumah di negara ini.

“Dari aspek sokongan pembiayaan untuk rakyat dalam memiliki kediaman pula, KPKT menyediakan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di mana Kerajaan memberi jaminan had pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama untuk rakyat tanpa pendapatan tetap serta berpendapatan rendah dan sederhana.

“Juga Home Ownership Campaign 2.0 (HOC 2.0) iaitu pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pembiayaan untuk pembeli rumah pertama bernilai RM500,000 ke bawah, yang masih berlangsung sehingga 31 Disember 2025,” jelasnya lagi.

Selain itu, bagi memastikan kesesuaian dan keperluan isi rumah, projek rintis Perumahan Inklusif MADANI di Johor dengan perumahan pelbagai saiz [multiple gross floor area (GFA)] juga dilaksanakan.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi KPT di Dewan Rakyat hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini